KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar untuk memanggil semua Ahli Parlimen bagi mengadakan sidang Dewan Rakyat dengan kadar segera.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia perlu berikutan pandangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) serta Raja-Raja Melayu bahawa tidak wujud keperluan untuk Pengisytiharan Darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos ini.
Menurutnya, Parlimen tidak memerlukan pelbagai fasa dan syarat untuk dibuka sebaliknya, ia adalah medan sebenar segala usaha pemulihan diperdebat dan dibincangkan.
“Saya menyeru dengan tegas agar titah dan hikmah SPB YDPA diterjemahkan segera. Mempolitikkan titah baginda tidak akan membantu pemulihan pantas negara ini.
“Apa jua alasan untuk melengahkan pembukaan Parlimen bukan sahaja tindakan anti demokrasi, tetapi menyinggung kemuliaan dan kebijaksanaan institusi Raja yang bebas dan berada di atas politik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad, pengumuman kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara bahawa Parlimen boleh dibuka menjelang September atau Oktober bukan satu kepastian.
Sebaliknya kata beliau, ia tertakluk kepada pelbagai syarat seperti pengurangan kes dan kadar vaksinasi melalui pelbagai fasa yang digariskan.
Semalam, Istana Negara memaklumkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah mahu persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Baginda menzahirkan perkara itu selepas berkenan menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Keputusan tersebut dibuat selepas baginda memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan. – MalaysiaGazette