KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar mengambil perhatian terhadap pandangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu berhubung pembukaan semula sidang Parlimen.
Ini kerana, ia merupakan permintaan rakyat yang sudah banyak kali disuarakan selepas melihat kepada keadaan pandemik Covid-19 dan kesan ekonomi yang sangat meruncing ketika ini, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Menurutnya, Ordinan Darurat yang diputuskan atas alasan pandemik covid-19 sehingga hari ini tidak menunjukkan keadaan bertambah baik, sebaliknya darurat telah menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) hingga tidak memberi kesan baik kepada cara pandemik itu ditangani.
“Parlimen adalah ruang terbaik untuk semua wakil rakyat berbahas bagi mencari jalan menangani wabak ini dengan lebih berkesan.
“Pandangan serta kritikan daripada semua wakil rakyat diperlukan dalam keadaan yang semakin meruncing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, kerajaan tidak boleh hanya membuat keputusan sendiri tanpa semak dan imbang terutama dalam soal peruntukan kewangan serta dalam isu menangani pandemik yang sudah berlarutan lebih setahun.
Ujar beliau, sidang Parlimen harus menumpu kepada membincang strategi terperinci bagaimana pandemik Covid-19 dapat dikawal sementara negara boleh dipulih untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi.
Katanya lagi, Parlimen bukan sekadar menggubal undang-undang tetapi juga merupakan medan untuk berbincang secara matang semua keputusan kerajaan.
“Kami juga lega dengan keputusan Raja-Raja Melayu yang meminta karenah birokrasi vaksinasi yang sedang dijalankan dapat diatasi segera.
“Pelan berfasa vaksinasi negara yang banyak dirunguti orang ramai perlu dilihat semula kerana ini bukan hanya soal vaksin yang lambat diterima ekoran penerimaannya secara berperingkat, tetapi ia adalah soal kaedah memberi vaksin itu sendiri yang sangat birokratik,” tambahnya. – MalaysiaGazette