Home Nasional MTC, DHS tawar biasiswa RM1juta lepasan SPM

MTC, DHS tawar biasiswa RM1juta lepasan SPM

Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara MTC dengan DHS Hospitality Academy Sdn Bhd

KUALA LUMPUR – Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dengan kerjasama DHS Hospitality Academy Sdn. Bhd menawarkan biasiswa berjumlah sehingga RM1 juta kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perhotelan dan hospitaliti.

Presidennya, Uzaidi Udanis berkata, kerjasama ini akan menawarkan program latihan jangka pendek untuk industri dan pengembangan pengurusan modal insan yang menjadi keutamaan dalam Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

“Ini tepat pada masanya kepada belia yang telah mendapat keputusan SPM mereka baru-baru ini.

“Kami berharap dengan program ini, MTC dapat menarik lebih banyak belia terutama dari keluarga B40 dan M40 untuk meneruskan kerjaya dalam bidang pelancongan dan perhotelan,” katanya dalam sidang video Zoom, hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara MTC dengan DHS Hospitality Academy Sdn Bhd secara dalam talian.

Turut sama, Timbalan Presiden MTC, Datuk Thangavelu Kuppusamy dan Presiden DNS Hospitality Academy Sdn Bhd, Dr. Sri Kumar.

Menurut Uzaidi, tawaran biasiswa itu adalah sebahagian daripada Malaysian Industrial Attachment Program yang diperkenalkan untuk pelajar dari keluarga B40 dan M40 dengan penajaan sepenuhnya selama setahun dalam Industri Perkhidmatan Makanan di Malaysia.

“Sepanjang tempoh program, pelajar diberi penginapan, makanan, enam hari belajar selama 48 jam seminggu dan yuran pengajian program ditaja oleh organisasi masing-masing di Malaysia,” jelasnya.

Katanya lagi, program ini untuk mewujudkan peluang bagi belia dilatih dan diambil bekerja serta pencarian kerjaya di industri perhotelan di negara ini.

“Jumlah penajaan untuk program tersebut melibatkan 500 belia. DHS akan memberikan tajaan penuh untuk 14 pelajar pertama dan sebahagian tajaan untuk 50 pelajar seterusnya.

“Bayaran program adalah RM12,000 dan yuran pendaftaran adalah RM500. Untuk penajaan separa, pelajar hanya akan membayar RM6,000 sahaja.

Sehingga kini DHS telah melatih 1,500 belia dan berjaya menempatkan mereka di industri perkhidmatan perhotelan dan makanan di Malaysia serta Singapura. – MalaysiaGazette