KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang tidak memperincikan seruan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah berhubung persidangan Parlimen dibidas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Presiden penaja Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, kenyataan itu adalah sesuatu yang memalukan.
“Sebuah kerajaan yang tidak mendengar suara rakyat juga adalah kerajaan yang tidak mendengar suara Majlis Raja-Raja,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Ahli Parlimen Muar itu mengulas mengulas kenyataan Takiyuddin yang berkata YDPA hanya berpandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Takiyuddin dalam siaran langsung di laman Facebook semalam berpandangan, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa Parlimen boleh bersidang sekitar September atau Oktober tepat dengan saranan ‘secepat mungkin’ yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, jelas Takiyuddin telah membuat tafsiran sendiri mengenai titah YDPA semalam.
“Selagi Menteri Perikatan Nasional boleh berpura-pura dengan tafsiran mereka sendiri, untuk kepentingan politik parti, selagi itu Menteri Perikatan Nasional akan terus buat begitu.
“Majlis Raja-Raja memahami kepentingan untuk Parlimen dibuka dengan kadar segera, tetapi Menteri Perikatan Nasional pura-pura tidak faham,” katanya.
Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan dilaksanakan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dilaporkan berkata, pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan. – MalaysiaGazette