“Sudah hampir 21 tahun kami menunggu kediaman yang dijanjikan tapi sehingga kini masih tidak siap untuk kami sekeluarga merasa selesanya sebuah rumah”
Itu realiti kehidupan yang terpaksa ditempuh lima beranak yang menetap di rumah pondok hasil binaan sendiri dari kayu-kayu hutan di tapak asal rumah keluarga isteri Roslan Mohamed, 59 di Kampung Orang Asli Air Kuning, Bukit Bandaraya, Shah Alam, Selangor.
Bukan itu sahaja, isteri Roslan iaitu Ana Lalat, 46, yang merupakan orang asli dari suku kaum Temuan berkata, namanya tersenarai untuk pemindahan rumah pangsapuri yang berdekatan dengan rumah pondoknya namun sehingga kini masih belum boleh diduduki dan janji hanya tinggal janji.
Rumah pondok mereka hanya bergantung dengan tenaga solar yang dipasang pada bumbung rumah hasil sumbangan dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sejak lima tahun lalu.
Menurut Roslan Mohamed, 59, keluarganya sudah menetap di pondok ini lebih 11 tahun dengan keadaan serba kekurangan tanpa bekalan elektrik dan air bersih.
“Untuk mendapatkan bekalan air, kami terpaksa berjalan hampir 100 meter melalui laluan yang curam untuk sampai ke perigi dan memikul tong air untuk bawa pulang ke rumah”.
“Bukan apa anak-anak semuanya semakin membesar, kasihan mereka kerana tiada bilik sendiri dan belajar pun tidak dilengkapi sebarang gajet kerana saya tidak mampu untuk menyediakannya jadi memang banyak yang ketinggalan,” katanya.
Tambah Roslan Mohamed, 59, hasil perkongsian hidup dengan Isterinya, Ana Lalat, 46, mereka dikurniakan tiga cahaya mata berusia antara 12 hingga lapan tahun.
Pasangan suami isteri tersebut merupakan pekerja kontrak pembersihan di Taman Botani, Shah Alam.
Bercerita lanjut mengenai nasib hidupnya, Roslan berharap impian mereka sekeluarga untuk memiliki rumah sendiri satu hari nanti mampu dicapai.
“Harapan supaya percepatkan lah janji yang pernah ditaburkan untuk memberi rumah kepada kami supaya senang untuk anak-anak belajar dalam keadaan lebih selesa,” katanya.