Home Nasional Polis Shah Alam kompaun RM140,000 kepada kilang sejak 1 Jun lalu

Polis Shah Alam kompaun RM140,000 kepada kilang sejak 1 Jun lalu

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib.

SHAH ALAM – Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam telah mengeluarkan nilai kompaun kira-kira RM140, 000 terhadap sektor perkilangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 fasa pertama dan dua hari fasa kedua.

Ia melibatkan sebanyak 44 kompaun ke atas 14 pengusaha kilang yang didapati melanggar prosedur operasi standard sejak 1 Jun hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, kompaun itu dikeluarkan hasil daripada pemantauan pihaknya di 82 kilang.

“Kita dapati pemilik kilang terbabit ingkar SOP Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya kepada pemberita dalam satu operasi pematuhan di Kota Kemuning hari ini.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sembilan kompaun dikeluarkan kepada kilang yang beroperasi tanpa surat kebenaran daripada MITI.

“Tiga kompaun pula kerana gagal mematuhi kapasiti jumlah pekerja dan dua kompaun lagi kerana kilang gagal menyediakan laluan keluar masuk pekerja mereka.

“Ini tindakan yang akan kita teruskan lagi dalam operasi sektor perkilangan ini,” katanya lagi.

Menurut Baharuddin, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kilang yang masih degil melanggar SOP yang telah ditetapkan selepas mereka diberi kebenaran beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0 ini.

“Saya berharap pihak-pihak kilang mematuhi sepenuhnya SOP sektor perkilangan. Kita akan ambil tindakan tanpa berkompromi lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette