KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kecewa dan membantah keras usaha Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang mahu membuat penyelidikan bertajuk
Feasibility Of Having Legislation On The Recognition Of A Third Gender In Malaysia.
Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan berkata, ia ekoran kenyataan SUHAKAN dalam hantaran media sosialnya pada 14 Jun lalu.
Baginya, kajian ini jelas mendorong ke arah kehidupan yang menyalahi syariat Islam dan bertentangan dengan norma budaya hidup rakyat di negara ini.
“Pastinya usaha ini akan membuka ruang dan peluang kepada lebih banyak aktiviti mungkar seperti Lesbian, Biseksual, Gay dan Transgender di negara ini yang membawa kerosakan dan keruntuhan institusi keluarga.
“Cara hidup yang bertentangan dengan fitrah asal kejadian manusia ini adalah sangat bertentangan dengan pegangan semua agama yang dianuti oleh rakyat di negara ini , justeru sebarang bentuk usaha untuk mengiktirafnya hanya akan menatijahkan kepada runtuhnya kerukunan sistem sosial di Malaysia selain
menambah kepada kebobrokan nilai dan akhlak,” katanya dalam kenyataan semalam.
YADIM menyeru agar SUHAKAM lebih prihatin dengan suasana semasa dan berpendapat lebih banyak isu lain yang boleh ketengahkan pada ketika ini untuk diperjuangkan.
“Walaupun suruhanjaya ini adalah sebuah badan bebas, namun sebagai entiti yang diwujudkan dan didanai oleh kerajaan, SUHAKAM sewajarnya sensitif terhadap pendirian kerajaan Malaysia yang jelas tidak menyokong budaya hidup songsang ini sepertimana yang dizahirkan dalam kenyataan bersama-sama 57 buah negara lain dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2008 lagi,” ujarnya.
Menurut Nasrudin, adalah lebih baik SUHAKAM turut sama dalam usaha membantu negara yang kini sedang bergelut menangani Covid-19 serta menyediakan pelan pemulihan pasca pandemik berbanding menjalankan kajian yang langsung tidak berfaedah kepada negara.
“SUHAKAM juga perlu menyedari bahawa usaha ini mempunyai implikasi kepada perundangan Islam di negara ini yang terletak dibawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu,” katanya lagi.
YADIM komited untuk terus gigih memperjuangkan dan menyampaikan dakwah serta penerangan tentang betapa pentingnya institusi keluarga menurut acuan Islam di negara ini terus dipertahankan dan menentang sebarang anasir yang cuba
untuk meruntuhkannya.- MalaysiaGazette