PUTRAJAYA – Seramai 5,000 pekerja sektor perladangan sawit di Selangor akan menjadi pekerja awal terlibat dalam projek rintis Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Projek ini dalah inisiatif kementerian yang mendokong usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi termasuk kepada kumpulan barisan hadapan ekonomi di pelbagai sektor, kata Menterinya Datuk Mohd Khairuddin Ahmad Razali hari ini.
“Projek rintis ini telah pun mendapat sokongan penuh Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan tindakan selanjutnya sedang diperincikan bersama CITF untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” kata beliau dalam kenyataan di sini.
Dalam kenyataan sama, Khairuddin berkata, program vaksin itu bagi memastikan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai sebelum akhir tahun ini seperti yang dirancang melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, selari dengan hasrat yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, bekalan serta penghantaran vaksin akan diberikan secara percuma oleh kerajaan.
“Namun, pihak syarikat masih perlu membiayai sendiri kos lain yang terlibat seperti penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut spesifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), peralatan perubatan (mengikut standard KKM), kos pemvaksin, doktor/jururawat serta bayaran elaun kepada petugas sukarelawan dan anggota keselamatan.
“Penyertaan pihak industri dalam program ini adalah secara sukarela bagi mendapatkan vaksin untuk para pekerja di sektor perladangan dan Agrikomoditi secara berkumpulan,” ujarnya.
Mohd Khairuddin berkata, kementerian ini akan memaklumkan dari semasa ke semasa maklumat terkini berhubung pelaksanaan program ini melalui siaran media dan juga laman web kementerian di www.mpic.gov.my/ – MalaysiaGazette