Home Utama Kerajaan tarik balik pindaan Akta 164

Kerajaan tarik balik pindaan Akta 164

Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini membuat pengumuman bahawa kerajaan menarik balik Rang Undang-undang (RUU) Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) sebaik dewan bersidang hari ini.

Kerajaan dipercayai mengambil langkah demikian bagi membuat kajian lebih lanjut mengenai pindaan berkenaan sebelum membuat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Pindaan itu adalah bagi menghalang penukaran agama terhadap kanak-kanak di bawah usia 18 tahun apabila ibubapa mereka bercerai.

Dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini, RUU itu disenaraikan pada nombor ke-10.

Pindaan berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada November tahun lalu dan kemudiannya ditangguhkan untuk kali kedua hari ini.

April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa keputusan kerajaan untuk meminda Akta 164 adalah berdasarkan kepada kepentingan negara.

Zahid mengeluarkan kenyataan itu apabila Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mahu kerajaan menangguhkan pembentangan pindaan Akta 164 atas alasan pindaan itu akan menafikan hak seorang mualaf, serta mengenepikan kuasa mahkamah syariah. -MalaysiaGazette