NEW DELHI – Kerajaan India mensasarkan untuk mengurangkan kes kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2024.
Menteri Pengangkutan Jalan dan Lebuhraya, Nitin Gadkari berkata, pada masa ini India merekodkan kira-kira 150,000 kematian setiap tahun akibat kemalangan jalan raya.
Menurutnya, negara ini mencatatkan setengah juta kemalangan dalam setahun.
Daripada jumlah itu, 50% kemalangan jalan raya disebabkan oleh masalah kejuruteraan jalan raya.
Katanya, kerajaan perlu mengenal pasti lokasi panas kemalangan jalan raya di seluruh India.
Gadkari berkata, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia telah bersetuju dengan skim yang diperkenalkan – yang mana kerajaan memberi peruntukan dana kepada para pemegang kepentingan untuk menghapuskan lokasi-lokasi nahas tersebut.
Tambah beliau, kementerian yang diterajui beliau turut berusaha keras untuk mengurangkan kematian akibat kemalangan dengan meningkatkan keselamatan jalan raya di India dengan langkah-langkah termasuk memperkukuhkan kejuruteraan jalan raya, kenderaan dan pendidikan awam.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di India kerana kenderaan membawa muatan lebih, keadaan jalan yang buruk dan memandu secara berbahaya. – MalaysiaGazette