Home Dunia Varian Delta dominan di UK

Varian Delta dominan di UK

Dr Jenny Harries. foto Agensi

LONDON – Britain melaporkan kenaikan mendadak dalam kes-kes varian koronavirus Delta, menurut data Public Health England (PHE).

PHE berkata, terdapat 33,630 kes baharu varian Delta yang pertama kali dikenal pasti di India pada minggu yang berakhir pada 16 Jun, menjadikan jumlah kes yang disahkan bertambah kepada 75,953, peningkatan 79 peratus berbanding jumlah sebelumnya.

“Kes meningkat pesat di seluruh negara dan varian Delta sekarang dominan,” kata Dr Jenny Harries, Ketua Eksekutif Badan Keselamatan Kesihatan United Kingdom.

Bagaimanapun, katanya, kadar kemasukan ke hospital dan kematian tidak meningkat tetapi keadaan tersebut dipantau.

Varian Delta kini merangkumi 91 peratus kes yang diuruskan, kata PHE.

Dengan menggunakan data terbaharu yang merangkumi data genotyped yang mempunyai waktu pemulihan yang lebih cepat, 99 peratus kes dianggarkan sebagai Delta.

Sebagai tindak balas terhadap lonjakan kes Delta, Perdana Menteri Boris Johnson mahu mempercepatkan program vaksinasi untuk memberi setiap orang dewasa vaksin Covid-19 pertama pada 19 Julai ini – tarikh baharu yang dimaklumkan dalam usaha mengakhiri sekatan pergerakan di England.

Pada hari Jumaat, vaksinasi Covid-19 dibuka kepada semua individu yang berusia lebih daripada 18 tahun di England.

PHE menambah, vaksin masih berkesan untuk memberikan perlindungan terhadap risiko dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti varian Delta.

Setakat 14 Jun, sejumlah 806 orang telah dirawat di hospital dengan varian Delta, peningkatan sebanyak 423 orang berbanding minggu sebelumnya.

PHE berkata, daripada jumlah yang dirawat di hospital, 527 tidak mendapat vaksin dan 84 telah menerima kedua-dua dos tersebut.-MalaysiaGazette