UTTAR PRADESH – Seorang tukang buat bot diangkat sebagai hero dalam media sosial selepas menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia 21 hari dalam kotak kayu yang ditemui terapung di Sungai Ganges.
Kejadian itu dilaporkan berlaku semalam selepas lelaki bernama Gullu Chaudhary terdengar bunyi tangisan bayi dalam kotak kayu yang dibaluti kain merah.
Lelaki itu bertindak membuka kotak tersebut.
Bayi yang diletakkan dalam kotak tersebut kemudian dibawa ke hospital berhampiran dan kini dalam pemantauan pegawai perubatan.
Bayi itu dikatakan akan dihantar ke rumah kebajikan kanak-kanak sementara polis memulakan siasatan dari segenap aspek bagaimana bayi itu boleh diapungkan di sungai berkenaan.
Kerajaan negeri Uttarakhand akan menanggung segala kos kebajikan dan membesarkan bayi itu.
Tukang bot itu pula dianugerahkan sebuah kediaman tetap yang baharu sebagai menghargai jasa kemanusiaannya.
Chaudary berkata, beberapa orang ada di tebing sungai itu ketika tangisan bayi itu kedengaran.
Namun tiada siapa yang peduli.
Sebaik sahaja berita penemuan bayi tersebar, orang ramai membanjiri tebing sungai tersebut untuk melihat wajah bayi tersebut. – MalaysiaGazette