KUALA LUMPUR – Masyarakat dunia digesa supaya memberikan respon segera bagi menamatkan kepungan ke atas Gaza dan membantu pembangunan semula wilayah yang hancur itu.
Ini kerana, pengepungan adalah penyebab utama krisis kemanusiaan dan menamatkannya adalah satu-satunya cara untuk membina semula Gaza, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Menurutnya, walaupun ada gencatan senjata yang diisytihar dari masa ke semasa, namun serangan zionis Israel tidak pernah berhenti dan semenanjung Gaza sering menjadi sasaran pengeboman yang berterusan.
“Kami merujuk kepada rayuan dari Kementerian Luar Negeri, Negara Palestin, Gaza bertarikh 17 Jun lalu. Hukuman kolektif adalah percanggahan jelas terhadap Konvensyen Geneva Keempat, Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia PBB dan undang-undang antarabangsa.
“Pihak berkuasa penjajah Israel zionis menutup semua sempadan dan menyekat kemasukan barang, bahan bakar dan bahan mentah untuk pembinaan.
“Ini disengajakan bertujuan menghalangi kemungkinan pembangunan kembali tebing Gaza dan tidak membenar sebarang kemungkinan ekonomi Gaza untuk terus hidup,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Azmi menegaskan, krisis kemanusiaan yang teruk dan kemerosotan ekonomi tidak boleh menjadi ciri kekal di Gaza kerana ia sudah berlarutan selama 15 tahun.
Penutupan pintu masuk dan sebagai akibatnya peningkatan kadar pengangguran yang tinggi, yang dianggarkan 70 peratus daripada populasi penduduk, akan menyebabkan keruntuhan seluruh ekonomi Gaza, katanya.
Tidak ada jumlah bantuan yang boleh membangunkan kembali kehancuran di Gaza kecuali dengan menghentikan sekatan.
Zionis Israel masih menghalang kemasukan bahan binaan yang diperlukan untuk proses pembinaan semula Gaza dan atas sebab yang sama inilah mengapa situasi Gaza dijadikan wilayah tidak layak dihuni dengan hampir semua keperluan asas penduduk musnah dan dinafi untuk dibina semula, ujarnya.
“Kami hairan mengapa masyarakat antarabangsa membiarkan perkara ini berlaku dan tidak dihalang…semua sekatan ini memang mengancam nyawa. Sekiranya pengepungan itu tidak berakhir, tidak akan ada jalan penyelesaian yang berpanjangan terhadap nasib penduduk Gaza.
“Dunia mesti menyedari bahawa sekatan itu adalah jenayah dan melanggar semua undang-undang antarabangsa yang berkaitan dengan hak kewujudan dan hak untuk menjalani kehidupan yang bermaruah, tegasnya.
Mohd Azmi menambah, pihaknya memperhatikan peringatan Kementerian Luar Negeri Palestin bahawa sekatan itu akan meningkat ketidakstabilan wilayah dan keadaan yang semakin buruk pasti akan menimbulkan ketegangan.
“Tamatkan sekatan sekarang. Semua negara jiran mesti mengambil langkah-langkah konkrit untuk membangun semula Gaza melalui satu-satunya pintu masuk yang dapat dilaksanakan iaitu sempadan Rafah.
“Jalur kehidupan untuk memasuki bekalan yang diperlukan untuk pembinaan dan keperluan harian Gaza mesti difasilitasi melalui pintu Rafah.
“Kami menegaskan sokongan kami kepada tuntutan yang paling mendesak agar masyarakat antarabangsa dan mediator serantau memberi tekanan untuk menamatkan penjajahan dan pendudukan zionis israel diatas bumi Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette