KUALA LUMPUR – Pusat pemberian vaksin (PPV) di Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka mampu memberikan lebih 10,000 dos sehari apabila mula beroperasi Isnin ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya berharap pembukaan PPV mega itu akan membolehkan lebih ramai rakyat khususnya di sekitar Lembah Klang divaksin, dengan tumpuan kepada rakyat berusia 40 tahun ke bawah.
“Seluruh trek balapan stadium ini telah bertukar wajah menjadi ruang untuk urusan vaksinasi selaras dengan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri.
“Ini sebahagian usaha KBS (Kementerian Belia dan Sukan) menjayakan inisiatif yang diterajui oleh Khairy Jamaluddin dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melalui penggunaan fasiliti secara optimum.
“Insya-Allah, dengan ikhtiar ini kita akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat dengan lebih cepat lagi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Menurut Reezal Merican, pada peringkat awal, seramai 60 sukarelawan MYVAC di bawah kelolaan KBS akan berkhidmat di situ dan jumlah tersebut akan ditambah mengikut keperluan.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai untuk segera mendaftar dan sentiasa menyemak status janji temu mereka melalui aplikasi MySejahtera.
Reezal Merican berkata, Stadium Tertutup Axiata Arena sudah mula beroperasi sebagai PPV bagi tujuan sama sejak 7 Jun lalu. – MalaysiaGazette