KUALA LUMPUR – Belian bersih saham pelabur asing di bursa tempatan berjumlah RM151.2 juta minggu lalu.
Jumlah itu melibatkan transaksi belian dan jualan, masing-masing RM2.31 bilion dan RM2.16 bilion di pasaran.
MIDF Amanah Investment Bank Berhad dalam laporan mingguannya berkata, para pelabur antarabangsa membeli saham Malaysia walaupun berlaku penjualan di pasaran saham Asia seperti di Korea Selatan dan Thailand.
Menurut firma penyelidikan itu, dana global terus berundur daripada ekuiti Asia berdasarkan data agregat sementara dari tujuh bursa Asia.
Pelabur asing melepaskan pegangan sebanyak AS$1.41 bilion – kedudukan paling tinggi pada tahun ini.
“Terdapat sedikit kegelisahan di Malaysia kerana para pelabur antarabangsa telah menjual pada awal minggu ini.
“Namun aliran keluar itu telah melakukan pembalikan dengan pembelian dari hari Selasa hingga Khamis dengan kenaikan pada hari Rabu didorong oleh keyakinan di Wall Street yang dipacu oleh pendapatan suku ketiga Apple yang mengagumkan,” katanya.
Kumulatif belian bersih asing pada Julai lalu berjumlah RM420.9 juta. – MalaysiaGazette