Home Pendapat Raja-Raja Melayu boleh atau tidak dikritik?

Raja-Raja Melayu boleh atau tidak dikritik?

Raja-Raja Melayu simbol perpaduan masyarakat. Gamabr hiasan

YANG di-Pertuan Besar

58. (i) The Yang di-Pertuan Besar will be the Head of the State, but he must be a constitutional Ruler. He must therefore act on the advice of his Ministers with regard to all executive action. He will be a symbol of the unity of the country…” – The Reid Commission Report 1957.

Terjemahan – (“DYMM Yang di-Pertuan Besar adalah Ketua Negara, tetapi tertakluk kepada sistem Raja Berperlembagaan. Baginda oleh itu mesti bertindak menurut nasihat Menteri-Menteri berkenaan dengan segala tindakan eksekutif. Baginda adalah simbol kepada penyatuan ummah dalam negara…”) – Laporan Suruhanjaya Reid 1957.

Umum mengetahui bahawa asasnya Raja-Raja Melayu sebenarnya adalah tonggak kepada penyatuan rakyat di dalam negara ini. Secara undang-undang, negara ini sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dahulu mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Dalam erti kata yang mudah, Raja Berperlembagaan membawa makna kuasa Raja-Raja Melayu adalah dibatasi oleh satu garis undang-undang. Setiap tindak-tanduk Raja-Raja Melayu mestilah menurut intipati yang telah ditetapkan oleh undang-undang iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Hanya lebih kurang 43 buah negara sahaja termasuk Malaysia pada hari ini masih mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Namun begitu, persoalan yang timbul, adakah Raja-Raja Melayu itu tidak boleh dikritik?

Undang-undang

Bercakap soal mengkritik Raja-Raja Melayu, masyarakat akan berasa gerun apabila mengenangkan kebarangkalian untuk ditangkap di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 mahupun Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambahan pula, ramai juga yang telah ditangkap kerana dikatakan telah menghina Raja-Raja Melayu. Malahan baru-baru ini juga, terdapat penangkapan seorang aktivis, Iswardy Morni yang dikatakan menyebut kata-kata menghasut yang cenderung menghina Yang Di-Pertuan Agong di bawah Akta Hasutan 1948.

Sebenarnya, terdapat garis yang memisahkan di antara mengkritik, menegur atau memberikan pandangan dengan menghina atau menghasut bagi membenci Raja-Raja Melayu ini.

Perkara yang mustahak untuk dilihat ialah suatu kenyataan atau kritikan – sama ada suatu kenyataan itu mempunyai kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian, perasaan tidak puas hati atau tidak taat setia terhadap raja atau tidak.

Perkara ini telah ditakrifkan melalui Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948 tentang maksud sebenar kecenderungan menghasut. Di satu sudut, seperkara menarik yang perlu difahami adalah kesan atau pandangan orang yang mendengar atau melihat kenyataan tersebut bukanlah salah satu kriteria bagi menentukan suatu kenyataan itu adalah bersifat menghasut.

Dalam usaha memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada pembaca, nas undang-undang klasik iaitu Public Prosecutor v Ooi Kee Saik & Ors [1971] 1 LNS 113 adalah dirujuk. Di dalam kes ini, Almarhum Raja Azlan Shah J (pada ketika itu) melalui Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan nada berhemah menyatakan pendapatnya mengenai tafsiran Akta Hasutan 1948 seperti berikut :

”In my view what the prosecution have to prove and all that the prosecution have to prove is that the words complained of, or words equivalent in substance to those words, were spoken by accused No. 1 at the dinner party. Once that is proved the accused will be conclusively presumed to have intended the natural consequences of his verbal acts and it is therefore sufficient if his words have a tendency to produce any of the consequences stated in s. 3(1) of the Act. It is immaterial whether or not the words complained of could have the effect of producing or did in fact produce any of the consequences enumerated in the section. It is also immaterial whether the impugned words were true or false. (See Queen Empress v. Ambra Prasad (1898) ILR 20 All 55, 69). And it is not open to the accused to say that he did not intend his words to bear the meaning which they naturally bear. (See Maniben v. Emperor AIR 1933 Bom 65, 67)”.

Terjemahan – (”Pada pandangan saya, pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa kata-kata yang diadukan, atau kata-kata yang setara dengan itu, telah diucapkan oleh tertuduh No.1 di pesta makan malam. Setelah ia dibuktikan, tertuduh akan secara konklusif dianggap telah mempunyai maksud sebenar dari tindakan lisannya dan oleh itu memadai jika kata-katanya mempunyai kecenderungan untuk menghasilkan salah satu akibat yang dinyatakan dalam s. 3 (1) Akta. Tidak penting sama ada kata-kata yang diadukan boleh membawa kesan atau tidak menghasilkan apa-apa akibat yang disebutkan dalam peruntukan ini. Adalah tidak penting sama ada kata-kata yang disanggah itu benar atau salah. Dan tertuduh tidak boleh untuk mengatakan bahawa dia tidak mempunyai niat dengan kata-katanya yang jelas telah memberi maksud berdasarkan peruntukan ini”.

Ini bermakna selagi mana sesuatu kenyataan itu mempunyai kecenderungan menghasut seperti yang dinukilankan oleh undang-undang, maka ia adalah suatu kesalahan yang boleh membawa kepada suatu dakwaan menghasut.

Bagi memberi gambaran yang lebih jelas tentang kenyataan yang menghasut, contoh kes adalah diambil dalam satu nas undang-undang iaitu PP v Wan Ji Wan Hussin [2018] 5 LNS 217. Dalam kes ini, tertuduh telah disabitkan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 atas kenyataan di laman facebook https://www.facebook.com/wanji.attaaduddi seperti berikut :

1) Jenis syaitan tak baca hadis nabi kata ‘sesungguhnya orang yang ada hak, kena bg ruang bersuara’. Bahana bodoh agama tapi nak jadi ketua agama.. Sultan Selangor Sultan Shrafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya tidak terpengaruh dengan tuntutan kebebasan bersuara yang diperjuangkan segolongan pihak yang hanya mementingkan ideologi politik.

2) Sultan sel tu tak payah nak ingatkan student UPM..Dia sendiri tu kena pg ngaji agama lagi…Kena ajar sultan sel, arak tu haram. Ketua agama tak layak ada hard rock café…Perasan bagus, tp bodoh agama..

3) Buang je sultan2 ni…Perabis duit rakyat…

4) Sultan sel mengadakan kempen projek pembodohan di Universiti…Masuk Universiti untuk jadi bijak, si syaitan ni buat projek pembodohan.. Bila org bodoh, dia akan berkuasa…Firaun moden. 5) Nak kaya dlm keadaaan bodoh adalah jadi sultan. 6) Quran kata, ‘(firaun) merendah-rendahkan (akal) mereka (rakyat mesir), lalu mereka taat kepadanya’ itu di mesir. Kalau di malaysia, yg buat kerja ni adalah UMNO dan Sultan..”

Jadi, boleh kritik/tegur/menyatakan pandangan atau tidak?

Namun begitu, bagi melindungi hak bersuara dan menyatakan pandangan, Seksyen 3 (2) Akta Hasutan 1948 menghuraikan bahawa sesuatu kenyataan itu tidak boleh dianggap mempunyai kecenderungan menghasut jika kenyataan tersebut adalah bagi menunjukkan bahawa Raja telah dikelirukan atau tersilap dalam langkah-langkah yang diambilnya.

Walau bagaimanapun, terdapat batas atau had dalam perkara ini kerana tindakan menyanggah atau mempersoalkan perkara-perkara yang bersifat hak, taraf, kedudukan istimewa, kedaulatan atau prerogatif seperti yang tertulis dalam undang-undang adalah tidak dibenarkan – Bahagian iii Perlembagaan Persekutuan (kewarganegaraan), Perkara 152 (Kedudukan Bahasa Melayu), Perkara 153 (Keistimewaan Orang Melayu) dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan (Kedaulatan Raja-Raja Melayu).

Oleh itu, rakyat Malaysia perlu benar-benar faham bahawa sebenarnya pintu bagi mengkritik, menegur, merayu atau memberikan pandangan kepada Raja-Raja Melayu bukankan ditutup secara mutlak dalam negara ini seperti yang didakwa oleh sesetengah rakyat Malaysia.

Mengambil pandangan mantan Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dalam Utusan Malaysia bertarikh 2 Jun 2021. Beliau yang memberikan pandangan berkenaan penangkapan Iswardy Morni menyatakan bahawa pihak berkuasa perlu adil dan penangkapan tidak seharusnya dilaksanakan secara terburu-buru.

Beliau juga menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong berhak untuk mendengar pandangan atau rayuan rakyat untuk membuat suatu keputusan. Tetapi, ia mestilah dibuat dengan berhemah.

Dalam masa yang sama, semangat parlimen dalam Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 18 Januari 1993, Tun Dr. Mahathir ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 juga pernah menyebut :

”Sementara halangan ke atas teguran ini dikatakan akan memelihara kemuliaan Raja, tetapi apabila Raja tidak ditegur, maka ia tidak akan sedar akan kesalahan yang telah dilakukannya. Dengan itu, mungkin lebih banyak kesalahan akan dilakukan dan kesalahan ini mungkin akan menjadi lebih serius. Ini bukan sahaja akan mencemarkan kemuliaan Raja, bahkan juga boleh menimbulkan kebencian rakyat terhadap Raja. Tidaklah benar jika dikatakan larangan terhadap mengkritik Raja akan memelihara kemuliaan Raja. Sebenarnya, kemuliaan Raja akan tercemar kerana larangan ini”.

Selanjutnya, Tun Dr. Mahathir juga ada menyebut dalam hujahnya bahawa :

“Akta Hasutan dan peruntukan berkenaan dengan hasutan terhadap Raja-Raja dalam Artikel 63(4) Perlembagaan menghalang rakyat daripada mendapatkan maklumat dan menyuarakan pendapat mereka. Mereka hanya dapat bercakap sesama sendiri sahaja. Pemimpin-pemimpin politik termasuk pemimpin-pemimpin Kerajaan memang mendengar dan menyedari akan pandangan atau kemarahan sebilangan rakyat yang mengetahui perbuatan Raja. Demikianlah kemarahan mereka sehingga ada, terutamanya di kalangan generasi muda yang menganggap Sistem Beraja sudah ketinggalan zaman.”

Justeru, rakyat Malaysia harus menyedari hakikat dan fakta sebenar iaitu tiada larangan bagi mengkritik, menegur, merayu atau memberi pandangan terhadap raja.

Tetapi ia harus dilaksanakan dengan satu kaedah yang berhemah dengan pemilihan kata-kata yang betul bagi mengelakkan ketidakpuashatian mana-mana pihak. Hujah bahawa Raja-Raja Melayu langsung tidak boleh dikritik seperti yang didakwa sesetengah pihak adalah dangkal dan suatu mitos yang tidak selari dengan undang-undang negara.

Kesimpulan

Tuntasnya, perjalanan negara bangsa ini adalah masih jauh. Langkah bagi memberikan kesedaran serta kefahaman berkenaan sistem dalam negara ini perlu digiatkan.

Jika tidak wujud mana-mana rakyat yang kritikal dan peka, maka negara bangsa ini dalam tempoh 100 tahun akan datang pasti akan menjadi sebuah negara yang lesu dan mandom.

Sebagai rakyat Malaysia, prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk Raja Berperlembagaan itu harus diangkat dan dihargai sebagai sebuah tradisi pusaka usang yang unggul. Ia adalah suatu gagasan penting ketika mula-mula negara ini dibentuk.

Perbincangan khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 lepas berkenaan isu pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu turut sama bersekutu memelihara piagam pembelaan rakyat yang memelihara antara satu sama lain seperti yang pertama kali dibuat oleh Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba di zaman purba dahulu yang saya saya catatkan semula di bawah. Daulat Tuanku!

“Maka sembah Demang Lebar Daun. ‘Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Di Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau berlaku pada hukum syarak’

Maka titah Sang Sapurba, “Akan pinta bap aitu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.”

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, Tuanku?”

Maka titah Sang Sapurba, “Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.:

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Baiklah, Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah.”

Maka titah Sang Sapurba, “Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu”.

Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah, kaki tiangnya di atas. – Perjanjian (wadaat) Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun di dalam Sejarah Melayu Alkisah Cetera yang kedua.

Khairul Naim Rafidi
Penulis merupakan Peguambela dan Peguamcara yang beramal di Tetuan Khairul Naim Rafidi. Penulis boleh dihubungi melalui laman Facebook Khairul Naim Rafidi atau Messrs Khairul Naim Rafidi