KUALA LUMPUR – Setiap hari Pemuda UMNO menerima mesej keluhan rakyat berkenaan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) melalui pelbagai platform termasuk talian hotline pergerakan itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dikuatkuasakan 1 Jun lalu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, rata-rata mereka mengadu permohonan kali ini ditolak, tunai lambat dikreditkan ke akaun penerima, data tidak dikemas-kinikan dan proses rayuan yang menyusahkan dan penuh dengan kerenah birokrasi.
Lantaran itu, Pemuda UMNO menggesa kerajaan untuk mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selaku agensi pelaksanaan untuk memudahcara dan mengurangkan birokrasi pelaksanaan dan meningkat program BPN dan BPR ini.
”Fahamilah nasib rakyat ketika ini yang amat tertekan dan terdesak akibat PKP yang berpanjangan yang bukan sahaja membataskan pergerakan tetapi lebih parah lagi menyebabkan pendapatan rakyat amat terjejas terutamanya yang tiada pendapatan tetap, bekerja sendiri dan bergantung kepada gaji harian.
”Kini sudah masuk 20 hari sejak ‘TOTAL LOCKDOWN’ separa masak berjalan dan kes baharu positif Covid-19 masih tinggi dengan purata harian kes lebih 5,000 (5,911 pada 19 Jun 2021).
”Situasi ini dikhuatiri akan berpanjangan dan lebih ramai akan terjejas apabila YB Menteri Kesihatan dalam kenyataan terbaru beliau berkata negara hanya akan memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara sekiranya purata kes bawah 4,000 untuk tujuh hari berturut-turut,” katanya.
Lebih membimbangkan, kata Asyraf apabila laporan terbaru Jabatan Statistik Malaysia menyatakan lebih 600,000 isi rumah M40 sudah masuk ke kategori B40, negara masih tidak menunjukkan indikator positif bahawa ekonomi negara sedang memulih.
Oleh itu, kerajaan harus menyediakan sumber-sumber yang mencukupi buat LHDN dan agensi-agensi lain yang terlibat di dalam proses kelulusan program ini.
Pemudahkan, usah menyulitkan rakyat, ujarnya sambil menegaskan kepentingan rakyat perlu didahulukan lebih-lebih lagi ketika negara berada di dalam keadaan krisis seperti sekarang, ujar beliau. – MalaysiaGazette