KUALA LUMPUR – Meskipun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil sejumlah besar guru mulai Julai ini tetapi tidak bermakna pengambilan akan dihentikan selepas itu.
Sebaliknya, pengambilan guru akan terus dilakukan selepas ini mengikut keperluan.
Menjelaskan Pengambilan Khas Guru Secara One-Off seramai 18,702 orang, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, langkah itu dibuat bagi menutup jurang besar kekurangan guru yang berlaku pada masa sekarang.
”Apa yang dilakukan ini adalah untuk tutup jurang lama, dengan pengambilan nanti ia akan menjadi asas untuk KPM bergerak ke hadapan.
“Kekurangan guru pastinya berlaku kerana akan ada guru bersara awal, bersara wajib. Kita juga memerlukan tambahan guru untuk sekolah-sekolah baharu.
”Pengambilan besar-besaran ini bukan bermakna selepas ini tiada pengambilan lagi, bukan. Pengambilan tetap dibuat tetapi mengikut keperluan,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Beliau berkata, pengambilan secara besar-besaran ini supaya pada masa akan datang pengurusan bekalan guru dapat diuruskan dengan baik selepas sekian lama berdepan dengan masalah kekurangan guru.
Yang penting, kekurangan guru ini dapat distabilkan apabila jurang dirapatkan,” tambah beliau lagi.
Terdahulu, Radzi berkata, kekurangan guru di negara ini disebabkan bekalan yang ada tidak sepadan dengan keperluan mata pelajaran di sekolah-sekolah rendah dan menengah.
Menurutnya, sekolah rendah mengalami kekurangan bekalan guru bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Manakala di sekolah menengah pula kekurangan guru bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Reka Bentuk dan Teknologi.
Katanya, dalam pemilihan ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan akan mengutamakan graduan-graduan yang memiliki iktisas pendidikan namun graduan kelulusan lain turut dipertimbangkan bagi menangani isu ketidakpadanan dalam opsyen mata pelajaran.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, iklan pengambilan guru ini akan dikeluarkan pada 7 Julai dan calon-calon akan melalui proses ujian, temuduga dan penempatan ke sekolah.
“Ini bermakna pada bulan Oktober nanti, mereka yang dipilih akan sampai ke sekolah yang mana mereka patut mengajar,” ujar beliau. – MalaysiaGazette