Home Politik UMNO perlu segera keluar jika kerajaan gagal buka Parlimen

UMNO perlu segera keluar jika kerajaan gagal buka Parlimen

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Terengganu mencadangkan agar parti itu keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika kerajaan masih gagal membuka Parlimen dengan segera.

Cadangan itu dibuat supaya UMNO tidak terpalit dengan politik derhaka kepada raja seandainya pendirian kerajaan terus acuh tidak acuh merealisasikan titah raja dan tuntutan rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menegaskan pihaknya bersetuju dengan ketetapan Pemuda UMNO Malaysia agar Parlimen Malaysia perlu segera bersidang dalam tempoh 14 hari.

Jelasnya, sebagai kerajaan yang mendukung tinggi prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaaan seharusnya memahami titah pandangan dan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai panduan menyelesaikan kemelut rakyat kini, dan bukannya membuat tafsiran-tafsiran di luar konteks asal.

”Melewat-lewatkan titah ini dilaksanakan menggambarkan sebagai tindakan berpolitik yang menjurus kepada penderhakaan. Pemuda UMNO Terengganu percaya Parlimen adalah platform rasmi untuk ahli-ahli Parlimen mewakili rakyat masing-masing berbahas mencari formula paling ampuh membantu percepatkan proses vaksinisasi dan program bantuan ekonomi rakyat di musim PKP ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kerajaan sepatutnya lebih bersifat inklusif terutama di dalam menerima idea semua pihak bagi membantu saku rakyat yang jelas-jelas semakin berkurangan.

Sebagai contohnya, pelaksanaan i-Sinar dan i-Lestari 2.0 wajar dibuka kembali kepada rakyat ataupun setidak-tidaknya beri peluang perbahasan di Parlimen agar ruang cadangan membantu rakyat lebih bercambah.

Menurutnya, sikap sambil lewa kerajaan pusat melayani Terengganu dalam peruntukan tambahan PKP 3.0 juga mengecewakan.

Sedangkan dalam rekod kenaikan harga minyak mentah dunia, purata enam bulan pada tahun ini adalah bersandar pada harga AS$68.85 setong maka seharusnya Terengganu memperolehi sedikit tambahan pendapatan sekurang-kurangnya lebih RM600 juta hasil royalti Petronas untuk Terengganu.

”Oleh yang demikian, sangat penting bagi kami agar Parlimen bersidang segera untuk Ahli-Ahli Parlimen Terengganu menyampaikan hasrat rakyat tempatan yang sangat memerlukan bantuan tunai terutama kelompok B40,” tambah beliau.

Tengku Haphiz berkata, Pemuda UMNO Terengganu turut bimbang terhadap program vaksinasi di negeri yang agak perlahan sedangkan pendaftaran rakyat telah mencecah 440,000 orang iaitu melebihi separuh rakyat yang diberi keutamaan untuk divaksinkan.

Pusat Vaksin yang dibuka juga pula terhad kepada 14 buah sahaja di seluruh negeri menyebabkan pencapaian pevaksinisasian kepada rakyat kurang berkesan, katanya. – MalaysiaGazette