KUALA LUMPUR – Operasi pembersihan perancah besi atau ‘scaffolding’ yang jatuh dalam insiden petang semalam masih lagi berjalan, namun dihentikan pada jam 3 petang atas sebab hujan lebat.
Kerja-kerja pembersihan akan bersambung esok.
Sehubungan itu, para pemandu diminta untuk berhati-hati ketika melalui kawasan terlibat yang mana lorong kanan dari kedua-dua arah Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) ditutup dan laluan kontra telah diaktifkan untuk melancarkan trafik.
Pengguna dinasihatkan untuk mematuhi arahan pengawal trafik dan papan tanda penunjuk arah yang disediakan di lokasi.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah menjelaskan, Prolintas selaku pemaju Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) secara konsisten mengingatkan kontraktor-kontraktor terlibat untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), serta mengambil langkah-langkah bersesuaian dalam aspek keselamatan pembinaan lebuh raya.
”Hasrat dan objektif kami sangat jelas untuk memastikan projek ini dibina dengan cara yang paling selamat, siap pada waktunya dan mengikut standard amalan kejuruteraan tertinggi,” katanya.
Untuk rekod, pembinaan DASH melibatkan lapan kontraktor utama di samping penglibatan secara menyeluruh oleh jurutera perunding bebas dalam reka bentuk, pengawasan dan penyeliaan dari pelbagai aspek.
”Walau bagaimanapun, insiden yang berlaku pada petang semalam amat mendukacitakan dan kami bersama kontraktor terlibat iaitu MRCB Builders Sdn Bhd akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, serta akan terus menambah baik proses dan pelaksanaan projek yang sedia ada”, tambah Mohammad Azlan. – MalaysiaGazette