Home Nasional Beri gelandangan vaksin segera, cegah penularan Covid-19 – PBSM

Beri gelandangan vaksin segera, cegah penularan Covid-19 – PBSM

Datuk Mohd Rashidi meninjau proses pengagihan makanan kepada gelandangan di Laman Tun Seri Lanang,disini

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor diminta menyegerakan pemberian vaksin kepada golongan gelandangan di bandar raya ini sebagai langkah mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan kumpulan berkenaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Datuk Mohd Rashidi Mohd Nor berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan berkenaan kepada Jawatankuasa Kesihatan Negeri.

“Kita telah maklumkan kepada YB Zaiton Ismail iaitu Exco Pembangunan Wanita dan Masayarakat Johor dan dijangka beliau akan melawat ke sini (Laman Tun Seri Lanang) Selasa ini.

“Saya juga telah memberi senarai nama yang terlibat membabitkan 229 nama kerana mereka merupakan antara golongan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

“Mereka ini golongan gelandangan yang sah berdaftar dan mempunyai kad ahli,”katanya ketika ditemui di Laman Tun Seri Lanang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Rashidi berharap kerajaan Johor dapat memindahkan golongan gelandangan ke kawasan khas memandangkan yang mana kini mereka menjadikan Laman Tun Seri Lanang sebagai tempat kediaman.

Katanya, pemindahan perlu dilakukan bagi membolehkan mereka mempunyai penempatan lebih sempurna dan lebih selesa selain mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.

Tambah beliau, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memaklumkan terdapat perancangan untuk membina pusat khas gelandangan di Larkin.

“Namun disebabkan Covid-19 yang berterusan dan belum reda menyebabkan cadangan itu terpaksa dihentikan sementara.

Sementara itu Mohd, Rashidi menafikan laporan media Singapura yang mendakwa kira-kira 500 gelandangan di Johor terdedah dengan Covid-19 kerana tiada penempatan tetap yang disediakan kerajaan negeri tiada sanitasi yang sempurna dilakukan. – Malaysiagazette