Home Pendapat Apa pula fatwa Presiden Pas ketika bersama PN?

Apa pula fatwa Presiden Pas ketika bersama PN?

Abdul Hadi Awang

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan terbarunya pada 19 Jun lalu telah memberikan amaran kepada orang muda dalam negara ini supaya tidak terpengaruh dengan Pakatan Harapan (PH) yang dilabelkan beliau sebagai ‘melampau terhadap Islam’.

Dalam kenyataan tersebut juga, beliau menyebut adalah haram untuk bersama musuh agama. Ini adalah fatwa politik terbaru Presiden Pas.

Namun, jika disorot kembali perjalanan politik Presiden Pas ini, beliau seringkali mengeluarkan fatwa politik yang berubah-ubah, flip-flop dan u-turn.

Pada tahun 1981, beliau melabelkan UMNO sebagai kafir dan haram untuk menyokong UMNO, tetapi kini Pas bersama UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan turun berkempen menyokong calon UMNO dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca PRU-14 seperti di PRK Slim.

Bertambah parah apabila Pas berkempen untuk MCA di PRK Tanjung Piai walaupun MCA kuat menentang hudud.

Hudud dianggap nyawa Pas, tetapi kini dipajak kepada MCA. Pas pernah bersama DAP membentuk kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak dan Selangor (2008-2018), namun kerana ingin bersama UMNO, DAP dijadikan kambing hitam dengan dilabelkan anti-Islam.

RUU355 dijadikan alat perpecahan suatu permuafakatan nasional, tetapi kini alat itu pula usang ditelan zaman.

Fatwa politik Presiden Pas untuk menubuhkan kerajaan PN adalah berasaskan kerajaan Melayu-Islam, tetapi di manakah Melayunya dan di manakah pula Islamnya?

Israel boleh menceroboh kedaulatan negara, RUU355 belum dibentangkan kerajaan PN, kempen BMF untuk menaikkan ekonomi orang Melayu Islam tidak menjadi polisi negara, aktiviti judi semakin berleluasa, kes kematian Allahyarham Adib tidak selesai, kluster kayangan mendiskriminasi rakyat marhaen, kehidupan rakyat susah sehingga masalah air di Kelantan tidak selesai, pemimpin pula bermewah dengan Mercedes, aktiviti pembalakan merosakkan alam tanpa kawalan dan banyak lagi contoh lain yang menunjukkan tiadanya roh kerajaan Melayu-Islam dalam pemerintahan negara hari ini.

Fatwa yang dinantikan rakyat adalah apa pula hukum bersama dengan mereka yang menjadi pengkhianat? Kerajaan PN ditubuhkan atas gerakan beberapa bekas pemimpin PH yang khianat dan keluar parti dan bersekongkol dengan UMNO, BN dan Pas menubuhkan kerajaan PN. Tanpa Pas, tidak mungkin PH jatuh dan kerajaan PN ditubuhkan.

Pengkhianatan ini adalah satu malapetaka besar kepada politik negara kerana ia satu pengkhianatan kepada mandat dan amanah rakyat dalam PRU ke-14 lalu. Undi rakyat kepada PH ibarat satu perjanjian sosial yang perlu dihormati. Maka, ianya tidak boleh dikhianati.

Allah berfirman dalam surah al-Anfal ayat 58 yang bermaksud: “Jika kamu mengetahui satu pengkhianatan dari satu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang berkhianat”.

Fatwa politik Presiden Pas yang berubah-ubah, flip-flop dan u-turn ini dilihat dibuat mengikut selera politik Pas yang menggunakan agama untuk justifikasi sesuatu tindakan politik. Sesuatu fatwa politik tidak lagi dibuat berdasarkan disiplin ilmu dan maslahat.

Pas kini ibarat kacang lupakan kulit, yang boleh meninggalkan kekasih lama untuk mendapatkan kekasih baru. Asalkan demi kuasa, tidur sebantal, lain-lain sijil nikah pun tidak apa.

Dengan begitu banyak isu yang menjerut kerajaan gagal PN hari ini terutama kegagalan menangani pandemik Covid-19, kelumpuhan ekonomi dan kelemahan proses vaksinasi.

Presiden Pas cuba menjadikan PH sebagai kambing hitam dengan menunggang sentimen perkauman dan agama. Stigma PH anti-Islam sengaja dicipta bagi merendah-rendahkan pemikiran orang muda yang semakin celik politik dan demokrasi.

Faiz Fadzil

Penulis Faiz Fadzil adalah Ahli Dewan Undangan Permatang Pasir