KUALA LUMPUR – Industri kreatif menerima kesan ketara daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan pesertanya terpaksa menghentikan semua aktiviti penggambaran.
Masalah tersebit mendapat perhatian Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang terpanggil untuk membantu kumpulan itu kerana ada dalam kalangan mereka mungkin ‘gulung tikar’ jika aktiviti penggambaran hanya dibenarkan pada September ini.
Kata beliau, rata-rata mereka menghadapi kerugian besar akibat hilang punca pendapatan selain kedudukan kewangan berada dalam keadaan yang tidak baik.
“Kami di pihak Kementerian maklum keadaan rakyat yang terkesan sewaktu kita dalam usaha memerangi pandemik ini termasuklah kru, produksi , pengarah dan semua yang berkaitan.
“Saya pasti akan melakukan sesuatu bagi mencari jalan penyelesaian terbaik, lebih-lebih lagi PKP yang kita sedang jalankan ini juga bukanlah suka-suka, sebaliknya untuk membendung pandemik Covid-19 untuk.
“Saya akan berbincang dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia dan kemudiannya YAB Perdana Menteri tentang isu ini. Rintihan dan keluhan pastinya didengari,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Zahidi menyatakan demikian bagi mengulas rayuan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia yang mahu kerajaan mengkaji Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta memberikan kelonggaran kepada industri kreatif beroperasi pada fasa kedua, Julai ini.
Dalam pada itu, Zahidi mencadangkan kerajaan menyediakan pinjaman khas selama 10 tahun untuk peserta industri kreatif dengan dua tahun pertama ‘paymeny holiday’ dilaksanakan.
Tambah beliau, peminjam hanya membuat pembayaran balik pada tahun berikutnya.
“Juga berharap bank-bank boleh tampil memberikan pinjaman peribadi dengan syarat khas yang tidak membebankan, ini juga akan membantu sesebuah produksi daripada gulung tikar atau buang pekerja mereka,” ujarnya.
SElain itu, Zahidi meminta kerajaan mempertimbangkan i-lestari dan I-Sinar dilanjutkan bukan sahaja kepada kumpulan B40 tetapi juga M40.
“Malah Jabatan Statistik Malaysia ada menyatakan lebih 600,000 isi rumah M40 sudah masuk ke kategori B40 sejak berlakunya PKP tahun lalu malah kumpulan T20 juga sudah masuk ke kategori M40,” ujarnya. – MalaysiaGazette