Home Seni Hidup Saya bersalah benar Aliff Aziz pegang tangan – Afifah

Saya bersalah benar Aliff Aziz pegang tangan – Afifah

Reaksi pelakon, Afifah Nasir bercakap pada sidang media berhubung kontroversi beliau dan pelakon, Alif Aziz di pejabat peguam Ruben & Co, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Pelakon Afifah Nasir mengaku salah kerana membenarkan Aliff Aziz memegang tangannya dalam pusat karaoke pada 28 Julai.

Justeru adik kepada pelakon Anzalna Nasir tampil memohon maaf kepada semua pihak agar tidak memanjang lagi kontroversi ini.

“Saya akui kesilapan saya membenarkan si dia (Aliff Aziz) memegang tangan saya, dengan itu saya ingin meminta maaf,” katanya dalam satu rakaman video pada satu sidang media khas di pejabat peguamnya di sini hari ini.

Turut hadir adalah peguam, Sana Tufil Ahmad, kakaknya Mia Nasir dan kekasihnya Wan Ariff Wan Azhar.

Afifah atau nama sebenarnya, Nur Afifah Nasir, 24, turut memberitahu dia memiliki bukti-bukti perbualan dengan Aliff.

Jelasnya, masyarakat hanya mendengar cerita di sebelah pihak pelakon kelahiran Singapura itu sahaja.

“Saya ada banyak bukti-bukti termasuklah bukti perbualan tetapi sejujurnya saya tidak mahu keluarkan bukti bukti tersebut kerana tidak mahu keruhkan keadaan,” tegasnya.

Bagi membukti kebenaran, pihak media yang hadir diberi peluang mendengarkan rakaman antara kakaknya, Anzalna dan seorang kru produksi mengenai perancangan pihak produksi mempergunakannya untuk melancarkan penggambaran.

Antara isi dalam rakaman tersebut juga memberitahu, semua yang berlaku adalah tuntutan pihak produksi dan Aliff yang hanya mendengar kata-kata Afifah sahaja untuk hadir ke lokasi penggambaran.

Bagaimanapun pihak media tidak dibenarkan untuk menyiarkan rakaman perbualan itu kepada umum.

“Saya telah menjadi mangsa pihak produksi yang ingin Aliff hadir ke lokasi penggambaran drama Izinkan Aku Mencintaimu.

“Apa yang berlaku sebenarnya hanya lakonan sahaja kerana pihak produksi yang mahu saya menjaga hubungan dengan Aliff agar dia datang ke lokasi penggambaran.

“Mereka memujuk dan menggunakan saya supaya Aliff datang lokasi dan memberi kerjasama berikutan penggambaran sepatutnya mengambil masa sebulan kini sudah lebih dua bulan kerana masalah disiplin Aliff,” terang wanita itu.

Namun apabila ditanya sama ada beliau sedia memaafkan Aliff, 26, enggan memberikan sebarang komen.

Diasak lagi dengan soalan sama ada dia memaafkan isteri Aliff iaitu Bella Astillah dalam isu ini, Afifah memberitahu, dia memahami keadaan wanita itu yang masih dalam berpantang dan tidak bersalah dalam isu ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, 27 Julai lalu Bella, 23, bersama ibunya mencari Aliff dan mendapati dia bersama seorang wanita bernama Nur Afifah Nasir di sebuah pusat karaoke, Taman Shamelin, Cheras.

Aliff ditahan polis pada 2.30 pagi Jumaat dan dibebaskan sehari kemudian.

Aliff yang berasal dari Singapura dan Bella berkahwin pada September tahun lalu dan baru sahaja dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Ayden Adrean, pada 8 Julai lalu. – MalaysiaGazette