LONDON – Usain Bolt mengumumkan dia dan pasangannya, Kasi Bennett dikurniakan bayi kembar, baru-baru ini, lapor BBC.
Lelaki terpantas di dunia itu memuat naik gambar menarik keluarganya pada akaun Instagram miliknya sempena Hari Bapa.
Jaguh pecut berusia 34 tahun itu dengan Bennett mendedahkan gambar puteri sulung mereka Olympia, 1, dan bayi kembar, Saint Leo Bolt dan Thunder Bolt.
Bennett turut memuat naik gambar keluarga bahagianya di media sosial sambil menulis Selamat Hari Bapa kepada cinta saya selamanya.
“Anda adalah tonggak keluarga dan ayah yang paling hebat untuk anak-anak kita,” tulisnya.
Pasangan itu sudah bersama selama enam tahun dan mempunyai anak pertama pada Jun 2020.
Bolt bersara dari trek selepas Kejuaraan Dunia 2017 di London apabila mengalami kecederaan hamstring pada perlumbaan terakhirnya.
Dia juga merupakan pemenang pingat emas Olimpik lapan kali. – MalaysiaGazette