PETALING JAYA – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bakal menganjurkan forum ‘Nothing to Hide 2.0’ pada 13 Ogos ini di mana Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak sebagai panel jemputannya.
Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, forum ini bukan platform perdebatan antara dua negarawan itu, sebaliknya rakyat sendiri akan bertanya terus kepada kedua-dua pemimpin bagi menjawab persoalan.
“Tun M sudah setuju jawab semua soalan termasuk anaknya, ahli-ahli UMNO yang tidak bersetuju dengan beliau, Tun M sedia menjawab, tapi Datuk Seri Najib masih belum memberikan jawapan lagi, rakyat sendiri akan tanya soalan.
“Rakan media termasuk TV3 dipersilakan, Datuk Seri Jamal Md Yunos dipersilakan datang, tapi jangan lah buat gaduh, kita ini nak jawab secara intelektual,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM, di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.
Pada 25 Julai lalu, sekumpulan ahli ARMADA dihalang menghantar jemputan forum ‘Nothing to Hide 2.0 kepada Presiden UMNO itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Bagaimanapun hasrat mereka yang diketuai Ketua Penerangan Armada, Ashraf Mustaqim untuk menyerahkan surat jemputan itu menjadi kecoh apabila dihalang oleh kira-kira 100 ahli Pergerakan Pemuda UMNO.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, Perdana Menteri sepatutnya menggunakan platform itu untuk membersihkan nama beliau daripada pelbagai dakwaan dan salah guna kuasa.
“Saya selalu tekankan berani kerana benar, takut kerana salah, kalau Tun M memberanikan diri, kenapa tidak Datuk Seri Najib.
“Ini bukan plafrom bantai tapi untuk rakyat menilai jawapan siapa yang betul, jawapan siapa yang salah,” jelasnya.
Sementara itu, Ashraf kesal apabila jemputan forum itu yang dibuat lebih awal masih tidak mendapat sebarang jawapan daripada Perdana Menteri.
“Sila tanya kepada Perdana Menteri, sama ada dia terima atau tidak, kalau tak terima cakaplah.
“Kita jemput bersurat dari Pejabat Perdana Menteri, kepada pejabat UMNO, siap twit Tun M, siap ajak Datuk Seri Najib ,” katanya lagi. – MalaysiaGazette