KUALA LUMPUR – Affin Bank Berhad (Affin Bank) menerima anugerah Aplikasi Bisnes PKS Terbaik – Malaysia 2021 untuk produk digital utamanya, aplikasi mudah alih SME Colony, di The International Finance Awards 2021.
International Finance Awards mengiktiraf bakat dalam industri, kemahiran kepimpinan dan nilai bersih serta kemampuan industri di platform antarabangsa, terutamanya di Asia dan Eropah.
Ini merupakan kemenangan kedua bagi Affin Bank setelah memenangi Inisiatif Perbankan PKS Terbaik untuk Perniagan Start-up (Malaysia)” pada tahun 2019 untuk Inisiatif Perbankan Start-Up Affin Bank.
Presiden dan Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan, Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, Aplikasi mudah alih SME Colony dicipta untuk menghubungkan pihak Bank dengan pelbagai rakan niaga, termasuk agensi kerajaan terpilih, untuk membimbing dan bekerjasama rapat dengan PKS serta komuniti syarikat pemula niaga.
Aplikasi mudah alih SME Colony telah menerima pelbagai penghargaan atas keunikannya dalam memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.
Anugerah ini merupakan pengiktirafan yang ke-12 sejak ia mula dilancarkan pada Ogos 2019.
Berfokus kepada PKS, SME Colony ialah sebuah platform digital sumber rujukan dan e-dagang dengan pelbagai rakan niaga yang direka untuk meningkatkan pengetahuan perniagaan, mengukuhkan kesejahteraan kewangan dan meluaskan jalinan rangkaian komersial tanpa kos dan tanpa syarat untuk mendaftar keahlian. – MalaysiaGazette