PETALING JAYA – Majlis Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini sebulat suara menetapkan lapan langkah dalam memastikan negara berada dalam lingkungan 10 negara terbersih di dunia daripada rasuah.
Wakilnya yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, antaranya meminda Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dengan memperluaskan definisi penerimaan rasuah dan menambah kuasa badan bebas itu untuk menyiasat mana -mana individu.
“Defiinisi yang lebih luas ini mestilah juga merangkumi kepada rasuah atau suapan yang berbentuk bukan kewangan.
“SPRM mesti diberi kuasa tambahan untuk menyiasat penjawat awam yang hidup di luar kemampuan mereka sama ada semasa bertugas ataupun telah bersara,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM di Menara Yayasan Selangor di sini hari ini.
Sebelum ini, Transparency International (TI) mengeluarkan Indeks Persepsi Rasuah 2016 di 176 negara di dunia dan mendapati Malaysia berada pada tempat ke-55 dengan skor CPI menurun dari 50 kepada 49.
Berdasarkan dapatan itu, Indeks Persepsi Rasuah negara menunjukkan kemerosotan sepanjang tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2014 yang ketika itu berada pada kedudukan ke-50.
Syed Saddiq juga berkata, pihaknya juga sebulat suara bahawa budaya keterbukaan dalam pentadbiran termasuk mengkaji semula klasifikasi maklumat atau dokumen sebagai rahsia dan sulit perlu dilaksanakan.
“Keputusan tender atau kontrak boleh didedahkan secara terbuka bagi menjamin ketelusan demi memberi kebaikan dan keuntungan kepada rakyat serta negara,” ulasnya.
Katanya, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2012 (Akta 711) perlu dipinda kerana undang-undang sedia ada tidak menjaga serta memelihara individu yang melaporkan jenayah rasuah.
“Pemberi maklumat pula yang berkemungkinan berhadapan tindakan unndang-undang. Akta ini wajib dipinda khususnya pada peruntukan yang membolehkan proses pemberian maklumat diuruskan sebuah badan bebas,” jelasnya.
Katanya lagi, SPRM juga perlu diberikan kebebasan untuk menyiasat mana-mana penjawat awam yang mempunyai kekayaan luar biasa.
“SPRM bebas dari tekanan politik mahu pun penguasaan badan eksekutif wajib memainkan peranan menyiasat mana-mana penjawat awam yang memiliki kekayaan melebihi pendapatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.