SEORANG sahabat lama ada hubungi saya. Dulu sahabat ini seorang yang aktif dalam parti UMNO dan banyak membantu saf kepimpinan di peringkat bahagian untuk memastikan UMNO menang pada pilihan raya umum.
Saya pun pernah berjuang bersama sahabat ini suatu ketika dulu, ketika saya bekerja di Kota Bharu.
Sahabat itu menyatakan kepada saya, dia ada menulis sepucuk surat untuk dihantarkan kepada Ketua UMNO Bahagian. Saya tidak mahu sebut bahagian mana. Sebab, saya tidak mahu sahabat itu ‘diserang’ oleh jentera parti.
Dalam surat itu, sahabat saya menyatakan, ahli UMNO di peringkat cawangan di bahagian berkenaan sudah tidak mampu dan tidak berupaya lagi untuk bangkit mendepani dan mencipta kemenangan pada PRU 14 kali ini.
Dengan meletakkan tajuk: “Tiada Gading Yang Tidak Retak”, sahabat itu dalam tulisannya memberi empat asas dan penilaian yang berlaku dalam UMNO semasa mesyuarat perwakilan berlangsung.
Dia yakin dengan firasatnya, yang UMNO di bahagian itu masih gagal memenangi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai Pas sejak tahun 1990, jika tidak ada kesedaran dari kalangan saf kepimpinan parti.
Sahabat itu mengulas, asas dan penilaian satu (I) ialah, mengenai kemajuan dan pencapaian peringkat cawangan.
Dia membuat kesimpulan, seluruh cawangan berada dalam keadaan lesu, seolah lumpuh. Malah ada beberapa cawangan UMNO yang mati dan dimatikan atas beberapa sebab yang hanya ketua dan saf kepimpinan sahaja yang tahu.
Bagi asas dan penilaian dua (II) pula, ia berkaitan dengan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian yang berlangsung Jumaat lalu.
Katanya, beliau sedih dan kecewa kerana kehadiran perwakilan peringkat cawangan nampak lemah dan longlai. Seolah tidak membawa bersama mereka suara kebangkitan akar umbi.
Sahabat itu berkata, dia dapat rasakan, kedatangan perwakilan pada mesyuarat itu tanpa ada apa-apa wadah perjuangan. Bahkan, langsung tidak menzahirkan sebuah kesatuan dan solidariti.
Manakala asas dan penilaian ketiga (III) pula tulis sahabat itu, beliau melihat ke dalam hati setiap para perwakilan yang hadir dan mendapati setiap daripada mereka bersikap tidak meyakinkan.
Tidak ada semangat dinamik ditunjukkan oleh para perwakilan cawangan. Mereka kelihatan seperti hilang hala tuju.
“Apatah untuk berlawan secara bersemuka dengan parti lawan dan tidak menampakkan kebangkitan ingin melawan serta ingin kemenangan,” katanya panjang lebar kepada saya.
Saya hanya mengiyakan setiap butir kata sahabat itu. Bukan tujuan saya nak ambil hati dia, tetapi apa yang dia katakan itu, saya dah lalui kira-kira 20 tahun lalu.
Ketika itu kiranya saya aktif jugalah membantu UMNO. Saya antara penyusun dan pengatur strategi bagaimana untuk menarik sokongan orang kampung, yang ketika itu terlalu taksub kepada Pas.
Masalah utama saya berdepan dengan UMNO ialah sikap pemimpinnya, atau dengan kata lain, calon yang bakal bertanding pilihan raya. Mereka langsung tidak mahu menerima unsur atau aspek Islam dalam berkempen.
Mereka lebih minat menghentam peribadi pemimpin Pas. Ini tidak baik kepada diri sendiri. Rakyat Kelantan ini agak unik. Kalau mereka tidak mahu kepada seseorang pemimpin, semua kepimpinan akan ditolaknya.
Sikap lebih pentingkan diri sendiri. Sikap sombong dan tinggi diri masih tebal menguasai diri pemimpin, dulu dan sekarang.
Mereka jemput saya untuk bersama barisan pakar strategi parti. Apabila saya beri buah fikiran, pandangan, pendapat dan nasihat, mereka tolak. Bila bertanding, kalah.
Kalau sekali kalah, boleh diterima. Ini sudah lima kali PRU, pun kalah. Kenapa? Sebab tidak mahu terima pakai buah fikiran orang bawahan.
Jadi, tidak mustahillah apa yang sahabat saya kata itu, boleh saya simpulkan sebagai fenomena ‘cemuh’ (bosan) dari kalangan kepimpinan peringkat akar umbi.
Selepas itu, saya tanya sahabat itu, apa asas dan penilaian keempat (IV)? Sahabat itu berkata, hilang identiti sebagai pejuang UMNO. Ini boleh dilihat pada reaksi perwakilan sepanjang mesyuarat berlangsung.
Katanya, pada sesi pendaftaran (tanda) kehadiran perwakilan, nampak sangat ketidakmesraan urusetia melayan perwakilan. Ini menambahkan lagi rasa benci pemimpin akar umbi kepada saf kepimpinan atasan.
Rasa benci dan marah ini terbawa-bawa ke dalam dewan apabila sepanjang menteri berucap merasmikan mesyuarat itu, tidak ada tepukan gemuruh. Yang kedengaran hanya tepukan hambar. Macam paksa.
Saya dapat bayangkan bagaimana situasi itu ketika sahabat berkenaan bercerita dari A sampai Z. Saya bayangkan, menteri berucap di pentas, perwakilan bercakap sesama mereka. Mereka tidak ambil kisah pun butir tutur ucapan menteri.
Mereka tahu, kedatangan menteri merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian bukan nak umum peruntukan penyelenggaraan prasarana atau menyampaikan berita baik, contohnya, kenaikan gaji atau kenaikan elaun.
Mereka tahu, menteri datang mesti nak gesa perwakilan bekerja keras untuk pastikan parti menang. Point lama. Datang berucap ulang kaset lama. Mereka boring. Mereka tahu kepimpinan negeri dan bahagian tak akan berubah.
Sahabat itu juga memberitahu saya akan keadaan perwakilan ketika ucapan penangguhan oleh Ketua UMNO Bahagian.
Katanya, tidak sampai pun 50 perwakilan cawangan termasuk Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian berada dalam dewan. Masing-masing sudah balik. Kalau ada pun, yang lepak di ruang persegaran sementara menunggu mesyuarat tamat.
Jadi, inilah sedikit gambaran yang saya cuba gambarkan akan ‘kekuatan’ akar umbi yang bakal menjadi petunjuk sejauhmana kekuatan UMNO untuk memenangi PRU 14 ini. – MalaysiaGazette