KUALA LUMPUR – Kelibat seorang lelaki yang dikatakan seorang pengasas produk kecantikan turut bersama pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR) di Pulau Pinang baru-baru ini telah mencuri perhatian netizen.
Menerusi video yang tular, lelaki berkenaan dilihat mengedarkan bungkusan produk kepada para pemandu kenderaan yang melalui SJR berkenaan.
Tindakan yang dilakukannya itu telah menimbulkan persoalan buat netizen mengenai kebenaran yang diterima lelaki ini untuk mengedarkan produk sewaktu SJR.
Ini kerana SJR yang dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh bertujuan memantau pergerakan orang ramai.
Tampil menjernihkan keadaan, lelaki berkenaan memberitahu, tujuannya berada di SJR adalah mengadakan program sosial tanggungjawab korporat (CSR) syarikatnya untuk petugas barisan hadapan dan masyarakat setempat.
Menerusi Instagram miliknya, Muhammad Iddin Syah Mohd. Fauzi menjelaskan, program itu telah mendapat kebenaran polis pada 18 Jun lalu bagi SJR di seluruh Pulau Pinang.
Pengasas produk kecantikan ESW itu turut berkongsi surat kebenaran polis bagi program CSR itu yang perlu diadakan dengan mematuhi prosuder standard operasi (SOP) ketat. – MalaysiaGazette