KUANTAN – Seorang pemadu treler membawa kertas terpakai meninggal dunia selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Kilometer 44.2, Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak semalam.
Pemandu berusia 53 tahun itu, K. Gururaja mati di tempat kejadian, kata Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.
Kejadian berlaku pukul 3. 40 petang itu, pemandu terbabit dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Temerloh.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam longkang.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa tersepit di bawah treler dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis meminta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
BERITA BERKAITAN :
Empat sekeluarga maut Perodua Myvi bertembung treler di Bentong
Dalam pada itu, Zaiham menasihatkan orang ramai yang memandu dan menunggang kenderaan agar sentiasa berhati-hati.
“Patuhilah peraturan lalu lintas dan pastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik.
“Sekiranya penat berhenti dan rehatlah secukupnya di lokasi-lokasi yang telah disediakan dan selamat sebelum meneruskan perjalanan,” katanya. – MalaysiaGazette