Home Nasional 80 peratus penduduk N. Sembilan terima vaksin Oktober ini – KJ

80 peratus penduduk N. Sembilan terima vaksin Oktober ini – KJ

Sidang media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Amirudin Harun bersama dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin di Seremban hari ini.

KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan akan menerima 600,000 dos vaksin Covid-19 pada Julai ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin.

Jelasnya, kadar vaksinasi di negeri itu juga akan ditambah kepada 20,000 setiap hari bermula bulan depan berbanding jumlah semasa iaitu 7,000 dos setiap hari.

Dengan ini Khairy menjangka, kira-kira 80 peratus penduduk di negeri itu akan menerima vaksin pada Oktober nanti, iaitu dua bulan awal daripada jangkaan.

“Kedatangan kita hari ini untuk melihat strategi kadar tingkatkan kadar vaksinasi di negeri ini memandangkan Negeri Sembilan berhadapan gelombang kes positif agak tinggi.

“Negeri Sembilan juga merupakan negeri perindustrian dan kluster tempat kerja semakin meningkat. Maka hari ini kita buat ketetapan bersama termasuklah meningkatkan kadar vaksinasi 20,000 sehari buat masa ini sehari 7,000.

“Iaitu kapasiti tertinggi yang akan kita buat pada Julai nanti. Ini merupakan satu peningkatan yang besar dan ini akan didorong dengan penghantaran vaksin sebanyak 600,000 dos ke Negeri Sembilan bagi bulan Julai,” katanya ketika sidang media bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Kata Khairy, perkara itu dipersetuju menerusi perbincangan di antara Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) kebangsaan dan Negeri Sembilan yang berlangsung hari ini.

Selain itu, menurutnya, sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri yang pertama bakal beroperasi juga pada bulan hadapan bertempat di d’Tempat Country Club, Sendayan.

PPV itu ujarnya, beroperasi di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dengan kerjasama beberapa kilang besar di negeri itu.

“Kapasiti harian di PPV industri di d’Tempat Country Club adalah 1,500 sehari dan kita juga telah setuju untuk membuka satu lagi PPV Industri iaitu D’Cattleya di Senawang,” ujarnya.

Menurut Khairy lagi, PPV orang awam juga bakal dibuka di Unviersiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Negeri Sembilan.

Terdahulu, Aminuddin memaklumkan PPV industri dan IPT adalah antara 31 yang ditambah dan mula beroperasi Julai ini.

Ia melibatkan dua PPV klinik kesihatan, tujuh PPV awam, 13 PPV pengamal perubatan am swasta dan tujuh PPV bergerak.

Justeru, beliau berharap dengan pembukaan PPV baharu ini, kemampuan pemberian vaksin sebanyak 20,000 setiap hari akan dapat dicapai. -MalaysiaGazette