PUTRAJAYA – “Tidak perlu tunggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi saya sendiri akan tangkap mereka dahulu,” kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.
Kenyataan bekas orang kuat SPRM yang kini sudah memimpin Jabatan Imigresen selama setahun itu menunjukkan keazamannya untuk menangani rasuah.
Antirasuah sememangnya berada dalam sanubari Mustafar seawal hari pertama beliau melangkah masuk ke Jabatan Imigresen.
Beliau mengorak langkah usaha itu dengan memperkenalkan unsur integriti dalam slogan Jabatan Imigresenm
Mustafar juga meminta jawatan timbalan ketua pengarah baharu dan mencadangkan kenaikan pangkat beberapa pegawai untuk memastikan operasi dan penguatkuasaan yang baik.
“Saya melihat pertukaran jawatan (dari SPRM ke Imigresen) secara positif. Saya masih berkhidmat untuk rakyat dan kerajaan.
“Ada yang kata tujuan saya ditukar adalah untuk membersihkan Imigresen. Saya melihat tugas ini secara positif.
“Saya berdiri sebaris dengan pegawai lain untuk mendidik mereka yang tidak berintegriti selain mahu memperkukuhkan sistem dan prosedur bagi mengelakkan ketirisan,” katanya dalam wawancara dengan Sinchew Daily.
Katanya, isu integriti akan dibangkitkan berulang kali dengan pegawai supaya perkara itu tidak dipandang sebagai ‘jenaka’ semata-mata.
Menurutnya, usaha yang dilakukan menampakkan hasil apabila bilangan pegawai Imigresen yang ditahan polis telah berkurangan.
Walaupun kelihatan menggunakan ‘kuku besi’ dalam tugas, namun siapa sangka Mustafar gemar meluangkan masa untuk menulis sajak.
Beliau malahan berjaya menghasilkan sajak bertajuk Barisan yang digunakan untuk menaikkan semangat warga Imigresen.
Katanya, beliau juga gemar melihat setiap hari sebagai “hari pertama dalam kerjaya” selain mahu memperkenalkan benda baharu dan inovasi untuk meningkatkan hasil kerja. – MalaysiaGazette