KUALA LUMPUR – Suasana sebuah restoran makanan di Kepong di sini semalam bertukar cemas selepas seorang lelaki mati mengejut semasa membeli makanan.
Kejadian berlaku semalam sekitar pukul 4 petang, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.
Semasa kejadian, polis menerima panggilan dari MERSS 999 ada satu kematian di sebuah restoran di Taman Sri Bintang, Kepong.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati simati bekerja sebagai kelindan lori itu tidak mengalami kecederaan fizikal luaran badan dan tiada tanda-tanda yang dikaitkan dengan unsur jenayah.
“Simati didapati datang ke restoran tersebut untuk membungkus makanan dan minuman pada jam lebih kurang pukul 3.30 petang.
“Semasa menunggu makanan yang dipesannya, tiba-tiba dia terjatuh dari kerusi tempat duduknya dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Eng Lai, pemilik restoran berkenaan telah menghubungi pihak hospital dan lelaki tersebut disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur yang bergegas ke lokasi dan memeriksa mangsa.
Identiti simati disahkan sebagai Cheah Kum Seng, berumur 49 tahun dan tinggal di Taman Sri Kepong Baru.
Post-mortem telah dijalankan pagi tadi dan punca kematian adalah ischemic heart disease dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tegas Eng Lai. – MalaysiaGazette