Home Nasional KPM sudah sedia SOP baharu persekolahan

KPM sudah sedia SOP baharu persekolahan

Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mempunyai kerangka dan akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu apabila sesi persekolahan dibuka nanti.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pelaksanaan SOP itu akan dilaksanakan pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun semuanya tertakluk kepada situasi pada masa tersebut.

Menurutnya, KPM akan melihat perkembangan semasa situasi Covid-19 kerana keadaanya yang dinamik dan pihaknya tidak tahu apa situasi yang bakal berlaku pada fasa ketiga.

Berdasarkan kes lalu, beliau berkata, risiko jangkitan Covid-19 berlaku di sekolah berasrama.

“Ini berdasarkan data yang kita lihat. Sekolah asrama susah dikawal memandangkan pelajar tinggal di situ,” katanya dalam sidang media khas PPNĀ  di sini hari ini.

Ditanya mengenai pembukaan sesi persekolahan bersemuka, Radzi berkata, KPN tidak akan terburu-buru dalam membuat keputusan sebaliknya akan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh PPN.

Jelas beliau, pemulihan dari satu fasa ke fasa lain mengambil kira purata kes harian CovidD-19, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta proses vaksinasi yang dijalankan.

Ia merupakan tiga nilai ambang utama yang akan dijadikan ketetapan oleh kerajaan sebelum membuka sesi persekolahan.

“Sekiranya ketiga-tiga nilai ini tidak dicapai, kita tidak boleh bergerak ke fasa seterusnya.

”Tetapi sekiranya ketiga-tiga nilai ini berjaya dipercepatkan, maka pembukaan sesi persekolah akan diawalkan,” ujarnya.

Berdasarkan PPN yang diumumkan oleh Perdana Menteri tempoh hari, fasa pertama yang dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu akan memasuki fasa kedua sekiranya purata kes harian Covid-19 kurang daripada 4,000 kes.

Penggunaan katil di wad ICU pula perlu berada pada paras sederhana dan negara mencapai 10 peratus populasi kadar vaksinasi di negara ini.

Bagi peralihan dari fasa kedua ke fasa ketiga pula dijangka antara Julai sehingga Ogos dengan penetapan purata kes harian kurang daripada 2,000 kes, pengunaan katil di ICU pada paras mencukupi serta 40 peratus populasi rakyat divaksinasi.

Manakala peralihan fasa ketiga ke fasa keempat pada November dan Disember pula menetapkan purata kes harian Covid-19 kurang daripada 500 dan peggunaan katil di wad ICU pada paras mencukupi dan 60 peratus populasi rakyat telah divaksinasi. – MalaysiaGazette