PETALING JAYA – Bekalan bihun di pasaran mungkin berdepan kekurangan jika industri kayu yang menyokong sektor pembuatan makanan tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden Persatuan Pengusaha Bee Hoon Malaysia, Datuk Hong Zu Dian berkata, disebabkan industri pemprosesan kayu tidak dibenarkan beroperasi, kilang bihun dijangka terpaksa menghentikan operasi juga kerana kekurangan bahan bakar.
Katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri justeru diminta untuk membenarkan operasi kilang pemprosesan kayu untuk membolehkan pengeluaran bihun diteruskan.
Jelasnya, sisa kayu merupakan bahan penting dalam pembuatan bihun dan kayu juga digunakan dalam pembuatan mee kering, kuetiau dan mee kuning.
Katanya, dandang (boiler) yang digunakan untuk membuat bihun memerlukan bahan kayu untuk memasak dan mendidih.
“Memandangkan kelengkapan dalam kilang bihun memang jenis yang menggunakan kayu sebagai bahan bakar, oleh itu kami tiada alternatif lain.
“Apabila stok bahan bakar yang ada habis, kami tiada pilihan tetapi perlu menghentikan operasi,” katanya dipetik Sinchew Daily.
Menurutnya, isu tersebut tidak timbul dalam PKP 1.0 kerana kilang pemprosesan kayu dibenarkan beroperasi ketika itu.
“Dalam PKP kali ini, kilang pemprosesan kayu disenaraikan sebagai sektor tidak penting dan tidak boleh beroperasi,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan kilang bihun hanya mempunyai stok kayu yang terhad dan dijangka dapat bertahan kira-kira seminggu.
Katanya, walaupun permintaan bihun meningkat semasa PKP, tetapi produktiviti kilang menurun apabila hanya 60 peratus pekerja dibenarkan bertugas.
“Jika kami tidak boleh beroperasi kerana kekurangan bahan bakar, maka pasti akan berlaku kekurangan bekalan bihun di pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette