Home Nasional Tiga individu jual vaksin RM420 dua dos ditahan

Tiga individu jual vaksin RM420 dua dos ditahan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket yang menawarkan penjualan vaksin Covid-19 menerusi panggilan telefon pada harga RM420 untuk dua dos terbongkar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menahan tiga individu yang disyaki terlibat dan mendapati operasi mereka tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Sebelum itu, katanya, Ibupejabat Polis Daerah Putrajaya telah menjalankan siasatan selepas menerima laporan dari seorang wanita yang bertugas sebagai penyelidik Covid-19 CITF yang mendapat maklumat tentang aktiviti penjualan vaksin.

“Bertindak atas laporan wanita itu dan hasil maklumat risikan, pada 23 Jun 2021 sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Putrajaya dan Bahagian Risikan dan Operasi JSJK KL telah membuat satu serbuan dan tangkapan terhadap tiga individu kerana disyaki terlibat.

“Kita juga merampas enam telefon bimbit dan beberapa dokumen semasa tangkapan suspek tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azmi, kesemua suspek telah direman tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mulai 24 hingga 26 jun ini untuk disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan (cubaan tipu).

Hasil siasatan mendapati orang awam telah dihubungi melalui telefon oleh suspek secara rawak dan menawarkan RM420 bagi dua dos suntikan vaksin Covid-19 manakala bayaran akan dibuat selepas suntikan diberikan.

“Ketua Sekretariat CITF Persekutuan telah mengesahkan jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) tidak memberikan kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menjual vaksin Covid-19.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menerima tawaran dari mana-mana pihak yang menjual vaksin,” katanya.

Sekiranya orang ramai mempunyai makumat tentang aktiviti penjualan vaksin, sila hubungi talian hotline polis KL di 03-21159999 atau sekretariat CITF di talian 03-88934303/4304 untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sindiket jual online vaksin Covid-19 tumpas