GEORGE TOWN – Gerakan Pulau Pinang menyeru semua wakil rakyat selari dengan pendirian Barisan Nasional (BN) untuk tidak menyokong sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan oleh mana-mana pihak.
Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, pendirian itu perlu bagi mengelak pergolakkan politik berterusan dalam keadaan negara masih tidak stabil susulan penularan wabak Covid-19.
Jelas beliau, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik dan memberi fokus dalam membantu rakyat mengharungi kehidupan mereka yang terkesan dengan Covid-19.
“Saya berasa lega dan gembira dengan keputusan ahli Parlimen BN dan UMNO yang bersetuju tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan di Parlimen.
“Persetujuan itu juga sudah pasti dapat meningkatkan kecekapan dan proses yang diambil semua pihak untuk melawan jangkita pandemik Covid-19 dalam negara.
“Sehubungan itu, saya menyeru semua pemimpin dan wakil rakyat dari parti lain mencontohi ahli Parlimen UMNO dan BN dalam mengetepikan perbezaan pendirian politik ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemimpin dalam negara perlu mengambil contoh di Taiwan di mana seluruh warganya bekerjasama menangani Covid-19 tanpa mengambil kira latar belakang politik masing-masing,
Kata Tong Keong, pembangunan ekonomi negara perlu didahulukan demi kesejahteraan rakyat berbanding soal politik.
“Soal pilihan raya umum pula, selepas negara pulih dari pandemik Covid-19 ia pasti akan diadakan seperti yang dijanjikan dan dijamin oleh Perdana Menteri.
“Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan sudah pastinya rakyat yang akan diberi kuasa untuk memilih pemimpin yang mereka ingini untuk memerintah dan memimpin negara melalui pilihan raya umum,” kata beliau.
Semalam semua Ahli Parlimen UMNO dan BN dalam satu kenyataan menjunjung kasih di atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang telah diadakan pada 16 Jun lalu berhubung keperluan mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli-ahli Parlimen parti itu dan BN tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan di Parlimen. – MalaysiaGazette