Home Nasional PKP 3.0: Hampir separuh kompaun di Kelantan kerana rentas negeri, daerah

PKP 3.0: Hampir separuh kompaun di Kelantan kerana rentas negeri, daerah

Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Hampir separuh daripada kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikeluarkan polis Kelantan membabitkan  kesalahan rentas negeri dan daerah tanpa surat kebenaran.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata, sejumlah 496 kompaun dikeluarkan kepada individu dan premis yang didapati melanggar SOP sejak 1 Jun hingga semalam.

“Kompaun paling banyak yang dikeluarkan adalah melibatkan kesalahan rentas negeri dan daerah tanpa surat kebenaran iaitu sebanyak 204 kompaun,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pulau Tukang Dollah dekat Kemumin, Pengkalan Chepa di sini bermula esok hingga 8 Julai.

Beliau berkata, kesalahan lain turut direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (110); premis perniagaan gagal menyediakan peralatan pemeriksaan suhu dan rekod diri pelanggan (69); individu terlibat aktiviti tidak dibenarkan ketika PKP (39); tiada penjarakan fizikal (31); keluar rumah tanpa alasan munasabah (25); premis beroperasi lebih masa (12); dan membawa penumpang berlebihan (enam).

Bagi kesemua kesalahan ini, polis hanya mengeluarkan kompaun mengikut kadar ditetapkan dalam SOP tetapi keputusan muktamad terserah kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan setiap kompaun masih boleh dibuat rayuan dalam tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan, katanya.

Mengenai PKPD di Kampung Pulau Tukang Dollah, Abdullah berkata, sebanyak 25 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan akan ditugaskan bagi mengawal serta memantau kawasan itu sepanjang PKPD dilaksanakan.

“Kami dapati di kampung ini ada empat laluan keluar masuk dan kesemuanya akan disekat mulai tengah malam ini termasuk satu laluan akan dipasang kawat duri.

“Kami harap 886 orang penduduk di sini akan sentiasa mematuhi peraturan dan jangan cuba untuk keluar masuk sesuka hati,” katanya. – MalaysiaGazette