KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah membuat dua laporan polis baru-baru ini susulan aduan orang ramai mengenai aktiviti penjualan vaksin.
Aduan itu dibuat pada 14 Jun dan 22 Jun 2021.
CITF sedang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyegerakan siasatan dakwaan penyelewengan ini.
”Kami difahamkan beberapa tangkapan telah dibuat dan butiran lanjut akan diumumkan oleh PDRM dalam masa terdekat,” katanya sambil menegaskan tiada vaksin atau slot janji temu boleh dijual sama sekali.
Pemberian suntikan vaksin adalah dilaksanakan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Untuk makluman Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melalui keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Oktober 2020 yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah memutuskan vaksin tidak boleh dijual kepada penerima atau dibekalkan kepada pihak lain tanpa kebenaran Kerajaan Persekutuan.
”Ingin juga kami tegaskan bahawa tiada kelulusan telah dikeluarkan oleh JKJAV kepada mana-mana pihak untuk tujuan ini.
”Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk terus melaporkan kepada PDRM sekiranya ada tawaran penjualan vaksin kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette