KUALA LUMPUR – Pasangan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak kisah berstatus underdog atau pemain bukan pilihan, pada penampilan sulung mereka di temasya Sukan Olimpik Tokyo bulan depan.
Sedar bakal mengharungi perjalanan yang getir di Jepun, mereka menyifatkan status itu boleh memberikan kelebihan kepada mereka dalam merealisasikan impian negara meraih pingat emas pertama Olimpik.
“Saya rasa setiap pemain akan menghadapi kesukaran, namun tuah mungkin memihak kepada kami kerana akan ke sana sebagai underdog,” kata Aaron ketika dihubungi Bernama.
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) meletakkan beregu kesembilan dunia itu di tangga ke-10 dalam ranking ‘Race to Tokyo’.
Mengulas lanjut, pemain berusia 24 tahun itu berkata mereka kini memberi tumpuan penuh pada persiapan akhir di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara di sini, sebelum ke temasya tersebut yang akan berlangsung dalam tempoh tidak sampai sebulan lagi.
“Persediaan kami berjalan lancar. Kami akan melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran peribadi kami di Tokyo,” katanya.
Pasangan beregu itu akan diiringi enam lagi pemain badminton negara iaitu perseorangan lelaki Lee Zii Jia, perseorangan wanita Soniia Cheah, beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
Setakat ini, sukan badminton kekal sebagai skuad terbesar dalam kontinjen Malaysia ke Olimpik Tokyo.
Mereka akan disertai Khairul Anuar Mohamad (memanah), Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek), Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee (terjun), Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) dan empat atlet pelayaran – Khairulnizam Mohd Afendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali.
Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos. – MalaysiaGazette