MIAMI – Sebahagian blok pangsapuri tepi laut setinggi 12 tingkat di Florida runtuh, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa.
Seramai 10 orang mangsa dilaporkan cedera.
Rkaman video yang tular dalam media sosial menunjukkan sebahagian besar bangunan di bandar Surfside – di utara Miami Beach – runtuh dan menampakkan bahagian tepi runtuhan di setiap tingkat pangsapuri.
Tidak jelas berapa orang yang tinggal di bangunan itu atau yang berada di dalamnya ketika kejadian itu berlaku.
Sebilangan penduduk terpaksa menuruni tangga untuk menyelamatkan diri.
Ada juga yang diselamatkan oleh pasukan penyelamat dari balkoni.
”Ketua polis memberitahu saya dua orang di bawa ke hospital dan seorang telah meninggal dunia,” kata Datuk Bandar Surfside, Charles Burkett.
Menurutnya, anjing pengesan turut digunakan dalam pencarian mangsa yang terselamat tetapi setakat ini belum menemui sesiapa.
”Seperti bom meletup, tapi kami yakin bom tidak meletup, jadi itu sesuatu yang lain,” kata seorang saksi.
Puluhan penduduk telah dipindahkan dari bangunan itu ke sebuah hotel berdekatan. – MalaysiaGazette