KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) menggesa kerajaan memberikan kebenaran pembukaan operasi pusat latihan kemahiran yang melaksanakan pendidikan dan latihan teknikal (TVET).
Setiausaha Agungnya, Mohammad Rizan Hassan berkata, pembukaan sektor TVET akan memberikan golongan belia berkemahiran meneruskan latihan amali atau praktikal mereka di mana dalam kaedah latihan TVET memerlukan 70 hingga 80 peratus kerja-kerja amalan bengkel.
Manakala, katanya, bagi belia lepasan sekolah yang tidak berpeluang atau tidak minat ke aliran akademik boleh menyertai latihan TVET bagi meneruskan halatuju kerjaya masa depan.
“Terdapat dua sebab utama gesaan ini di buat. Pertama, pembelajaran secara dalam talian terbatas kepada teorikal sahaja.
“Walaupun kemajuan teknologi memberi peluang kepada pembelajaran jarak jauh dan dalam talian, ianya bukan pengganti jangka panjang untuk pengajaran bersemuka di bengkel dan latihan kemahiran praktikal.
“Elemen latihan TVET menekankan aspek kerja tangan atau hands-on di antara 70-8- peratus dan aktiviti latihan ini
hanya boleh di jalankan di bengkel dengan alatan, kemudahan dan bahan gunahabis sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua, Mohammad Rizan berkata, industri kekurangan tenaga kerja belia berkemahiran dilatih di institusi latihan kemahiran awam dan swasta (ILKA/S).
“Pandemik Covid-19 memberi ruang yang luas kepada masyarakat Malaysia khususnya belia dari segi peluang penempatan pekerjaan.
“Ini kerana industri tidak lagi dibenarkan membawa masuk pekerja asing bahkan yang sedia ada juga semakin ramai di hantar pulang. Namun, sejak dua tahun ini industri tidak mendapat bekalan tenaga kerja dari ILKA/S di atas beberapa sebab seperti pelatih sedia ada belum menamatkan latihan disebabkan elemen praktikal belum disahkan trampil.
“Pelatih tidak menamatkan latihan lebih awal dan memasuki alam pekerjaan dengan kelayakan akademik rendah dan semakin banyak ILKS khususnya menutup operasi.
“Dijangka juga akan berlaku lebih banyak penutupan operasi dalam masa tedekat selain kekurangan kritikal pengambilan pelatih baru di ILKA/S,” ujarnya lagi.
Menurut Muhammad Rizan, gesaan itu dilihat berasas dan perlu diberi perhatian serius kerana ianya di tahap yang kritikal dalam mendepani isu bekalan tenaga kerja terlatih di Malaysia.
“Tanpa bekalan tenaga kerja yang mencukupi yang telah dilatih dalam pelbagai tahap akan menyebabkan industri terus mendesak kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing yang akhirnya akan lebih boleh menimbulkan kegusaran, kebimbangan dan keresahan masyarakat negara ini,” katanya.- MalaysiaGazette