Home Agama Perhalusi undang-undang hina Islam – Dr Zulkifli

Perhalusi undang-undang hina Islam – Dr Zulkifli

Temubual eksklusif bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Kompleks Islam Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Isu penghinaan agama Islam bukan perkara baharu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengakui maklum perkara tersebut serta bersetuju jika undang-undang berkaitan penghinaan agama Islam diperhalusi.

Menurut beliau, perkara itu harus mendapat persetujuan terlebih dahulu di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri sebelum dibuat sebarang perubahan.

“Pada dasarnya, saya setuju. Tetapi perkara ini membabitkan akta dan Parlimen dan juga akta dan negeri menerusi enakmen-enakmen kanun jenayah syariah dan seumpamanya.

“Kedua-duanya perkara itu perlu dilihat dan ada bahagian-bahagian yang perlu dikaji serta ada yang perlu ditambah baik,” katanya ketika menjadi tetamu program OWH! MG terbitan MalaysiaGazette yang disiarkan semalam.

Temubual eksklusif bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Kompleks Islam Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

Zulkifli berkata, semua perkara itu akan diperhalusi oleh pihak-pihak berkenaan sementelah pihaknya juga sudah ada jawatankuasa khas yang menyemak perkara ini.

“Kami sendiri ada jawatankuasa teknikal syariah yang melihat perkara ini, cuma isunya banyak dan kita bahagi dan gerakkan.

“Maklumlah dengan pendemik Covid-19, jadi pergerakan amat terbatas menyebabkan banyak usaha-usaha terpaksa perlahan sedikit.

“Bukan tak buat, hanya kerana masalah-masalah yang dihadapi ketika pandemik ini,” jelasnya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perkembangan isu ajaran sesat serta berkaitan jantina, Dr Zulkifli berkata, pihak-pihak yang berwajib akan mengambil tindakan.

“Kami telah berbincang dengan majlis agama negeri yang terlibat sepert Selangor. Cuma ia tidaklah diuar-uarkan. Pihak kami sentiasa mengadakan muzakarah fatwa. Keputusan muzakarah yang menetapkan kesilapan, kesalahan yang menyimpang daripada ajaran Islam, yang itu kita angkatlah,” katanya.

Jelas beliau lagi, apabila sudah berlaku,  akan ada tindakan-tindakan susulan daripada pihak-pihak berkenaan.

“Tanggungjawab kami adalah untuk memastikan setiap yang salah itu akan diberitahu kepada rakyat agar mereka tahu dan faham.

“Itulah ruang lingkup yang kita ada. Pada masa sama, kita tidak nafikan, mungkin orang nak tengok kita lebih agresif lagi untuk ambik tindakan dan seumpamanya.

“Tapi, haruslah faham bahawa, ada masanya lebih baik yang lain ambil peranan masing-masing,” katanya lagi dan berharap semua pihak dapat menyempurnakan peranan yang telah ditetapkan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya minta maaf – Dr Zulkfili