Home Nasional Pemberian vaksin kini cecah lebih 6.8 juta dos

Pemberian vaksin kini cecah lebih 6.8 juta dos

Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada pekerja sektor laut dan pelabuhan semasa di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sektor Pengangkutan (Maritim) Pelabuhan Klang sempena Hari Pelaut Sedunia 2021 ketika di Dewan Serbaguna Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Jumlah pemberian vaksin harian merekodkan kadar tertinggi apabila hampir 270,000 dos vaksin Covid-19 sudah diberikan setakat semalam dan menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah lebih 6.8 juta.

Menerusi Twitter, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sejumlah 268,604 dos telah pun diberikan kepada penerima semalam.

 

Ia sekali gus menyaksikan kadar pemberian vaksin mencatatkan lebih 250,000 dos untuk tiga hari berturut-turut, katanya.

Pemberian vaksin harian negara mula melepasi 250,000 buat pertama kali pada Selasa lalu dengan 250,529 dos disusuli 252,773 pada Rabu dan 268,604 dos semalam.

Kadar tertinggi itu juga dicapai hanya dalam tempoh 10 hari selepas pemberian vaksin harian melepasi 200,000 dos buat kali pertama sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu.

Dr Adham turut memaklumkan, sebanyak 6,823,104 dos vaksin diagihkan di seluruh negara setakat semalam, dengan hampir lima juta individu menerima dos pertama.

Malah, hampir 1.9 juta individu telah mendapat dos lengkap vaksin Covid-19, jelasnya.

“Jumlah individu menerima dos pertama ialah 4,924,334 orang atau 15.1 peratus daripada lebih 32 juta populasi negara. Daripada jumlah itu, seramai 1,898,770 orang menerima dos kedua, yang meliputi 5.8 peratus daripada populasi Malaysia,” ujarnya.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dikongsikan Dr Adham menunjukkan penduduk di Kuala Lumpur merupakan yang tertinggi mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Kuala Lumpur merekodkan seramai 44.7 peratus atau 792,013 penduduknya sudah menerima suntikan dos pertama disusuli Putrajaya (35,021/31.8 peratus), Labuan (28,565/28.7 peratus), Sarawak (721,653/25.6 peratus) dan Perlis (59,520/23.4 peratus).

Manakala, penduduk Putrajaya pula mendahului penerimaan dos kedua vaksin dengan merekodkan 19.7 peratus atau 21,672 individu, disusuli Labuan (13,445/13.5 peratus), Perlis (31,403/12.3 peratus), Kuala Lumpur (151,632/8.5 peratus), Sarawak (188,852/6.7 peratus) dan Negeri Sembilan (75,908/6.7 peratus). – MalaysiaGazette