Home Sukan Tiga bekas pemain negara tersenarai FIFA Century Club

Tiga bekas pemain negara tersenarai FIFA Century Club

Datuk Shukor Salleh.

KUALA LUMPUR – Tiga bekas pemain kebangsaan bola sepak mencipta sejarah apabila tersenarai dalam FIFA Century Club oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Laman resources.fifa.com melaporkan, ketiga-tiga pemain itu adalah Datuk Shukor Salleh, Datuk Mokhtar Dahari dan juga Datuk R Arumugam.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan secara rasmi itu, Shukor muncul pemain terbanyak meraih penampilan bersama skuad Harimau Malaya iaitu sebanyak 163 penampilan bermula dari tahun 1970 hingga tahun 1981.

Mokhtar atau digelar ‘Super Mokh’ menjadi pemain kedua terbanyak beraksi bersama skuad kebangsaan dengan 138 penampilan dalam tempoh 14 tahun bermula 1972 hingga 1985.

Arumugam yang juga bekas penjaga gol kebangsaan pula menjadi pemain negara ketiga dengan 131 penampilan sejak 1973 hingga 1986.

Ketika ini, rekod berkenaan secara rasminya dipegang oleh pemain Mesir, Ahmed Hassan yang tampil dalam 184 perlawanan bersama pasukan kebangsaannya sepanjang tempoh 1995 hingga 2012. – MalaysiaGazette