Home Nasional Sembilan individu ditahan terlibat dalam sindiket pertaruhan haram Euro 2020

Sembilan individu ditahan terlibat dalam sindiket pertaruhan haram Euro 2020

logo polis
Gambar hiasan

SERDANG – Polis menumpaskan sindiket pertaruhan haram kejohanan bola sepak Euro 2020 dalam talian dengan tertengkapnya sembilan suspek dalam serbuan yang dilakukan di Taman Serdang Perdana, di sini, pada Isnin lalu

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, sindiket tersebut menggunakan aplikasi Line dan beberapa laman web Winbox2u untuk berurusan dengan pelanggan mereka.

“Kebanyakan pelanggan mereka adalah dari dalam dan juga luar negara dengan wang pertaruhan minimum RM50 hingga RM10,000 maksimum dan keuntungan harian mereka boleh mencecah RM100,000 menerusi pertaruhan bola ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ujarnya, setiap suspek ditawarkan kerja menerusi iklan dalam laman Facebook dengan gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM3,500.

Katanya, hasil pemeriksaan di pangsapuri itu, pasukan polis membuat tangkapan terhadap lapan individu termasuk dua perempuan dan seorang lelaki warga China.

Jelasnya, kesemua suspek tidak terlibat dalam sebarang kegiatan kongsi gelap tetapi dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau membabitkan kes dadah, gaduh dan khianat.

Tambah beliau, kesemua suspek berusia 16 hingga 29 tahun telah direman selama enam hari bermula 22 hingga 27 Jun ini untuk membantu siasatan.

Dua suspek yang merupakan perempuan bawah umur dan tidak bersekolah telah diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis, ujarnya.

Menurut Anbalagan, kesemua suspek disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 kerana menjadi penganjur kepada aktiviti perjudian yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM200,000 jika disabitkan kesalahan.

Katanya, suspek lelaki warga China datang ke Malaysia menggunakan visa pelawat sosial dan siasatan mendapati ia telah tamat tempoh.

Lelaki tersebut direman untuk disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, dalam serbuan itu polis turut merampas 77 buah telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba dan sebuah iPad.

Katanya, beberapa peralatan dari barang rampasan itu telah dirujuk ke makmal forensik untuk dianalisa bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette