Home Utama Kerajaan akan umum moratorium, i-Sinar

Kerajaan akan umum moratorium, i-Sinar

Finance Minister Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 14 NOVEMBER 2020 i-Sinar without criteria application EPF Employees Provident Fund
Tengku Zafrul Abdul Aziz. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 14 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan membayangkan ada berita gembira buat rakyat Malaysia yang terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh sejak 1 Jun lalu.

Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menerusi akaun Facebooknya berkata, beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri dan agensi-agensi berkaitan mengenai isu moratorium dan i-Sinar.

“Kerajaan mendengar suara rakyat dan bantuan yang wajar akan diumumkan dalam masa terdekat. Insya Allah,” katanya.

Beberapa hari lalu, Tengku Zafrul ada mengumumkan bahawa kerajaan mempunyai beberapa mekanisme untuk terus menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, dua hari lalu berkata, kerajaan akan mengumumkan satu lagi pakej bantuan ekonomi tidak lama lagi.

Bank Negara Malaysia (BNM), kali pertama mengumumkan moratorium pada 25 Mac 2020.

Dalam pengumuman itu, BNM berkata, pelanggan bank, termasuk pelanggan persendirian dan perniagaan kecil dan sederhana akan dibenarkan menangguh pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka untuk enam bulan.

Penangguhan ini bersifat automatik dan terpakai kepada semua hutang termasuk pinjaman perumahan dan kereta.

Manakala pada bulan Disember tahun lalu, buat kali pertama, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pengeluaran i-Sinar bagi dua kategori membabitkan lapan juta ahlinya yang layak.

Kategori 1 melibatkan mereka yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Bagi Kategori 2 pula, untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas.

Ia termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020, yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

Namun pencarum yang terjejas akibat pandemik mendesak supaya syarat-syarat berkenaan dilonggarkan.

Pada bulan Februari lalu, KWSP memansuhkan syarat kemudahan pengeluaran i-Sinar yang sebelum ini diberikan dengan syarat-syarat ketat kepada pencarum tertentu.

Pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar ini akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki yang sedia ada. – MalaysiaGazette