KUALA LUMPUR – Ketika ribuan rakyat kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih ada pihak yang bermurah hati menghulurkan bantuan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
Walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bakul makanan kepada kira-kira 12,000 penduduk Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, namun barang keperluan asas itu masih tidak mencukupi.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu menambahkan beban kepada golongan B40 kerana tidak dibenarkan keluar bekerja walaupun dalam sektor perkhidmatan perlu.
Menurut Kahalid Ghazali, 59, sejak PKPD dilaksanakan di Desa Rejang, dia tidak pernah melihat mana-mana wakil rakyat untuk turun membantu penduduk terbabit, apatah lagi asnaf fakir, miskin dan B40.
“Wakil-wakil rakyat nampak masih tak nampak lagi (beri bantuan), yang ada hanya NGO atau individu tertentu. Kebanyakannya NGO yang banyak beri sumbangan kepada penduduk Desa Rejang.
“Saya pun kesian dengan kawan-kawan di Desa Rejang, bantuan JKM pula sikit sangat tak mencukupi.
“NGO memang ambil berat, banyak bantu saya, setiap kali ada sumbangan, pihak NGO mesti menghubungi saya untuk beri bantuan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sebuah restoran di Jalan Putra, hari ini.
Terdahulu Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Datuk Seri Ramesh Rao bersama Presiden Pertubuhan Generasi Ekonomi Melayu Bersepadu Malaysia (GEMS), Baharin Mohd Tahir memberikan sumbangan barang keperluan kepada 20 keluarga dalam kalangan B40 di sekitar ibu negara.
Dalam pada itu, Kahalid sempat menegur segelintir pihak yang seolah-olah tidak prihatin kepada nasib orang ramai yang terjejas akibat Covid-19 apabila memberi barangan makanan yang telah luput dan rosak.
“Saya pun ada dapat beras, tapi banyak kutu, saya nak menyampaikan kepada penduduk Desa Rejang pun tak sampai hati, ini kira beras lama sebab itu banyak kutu.
“Nak bagi makanan kepada orang biarlah yang elok, jangan bagi beras berkutu macam tu, kena teliti sikit sebelum bagi sumbangan,” katanya.
Sementara itu, seorang pemandu teksi, Mohd Rashid Shaari, 54, menyifatkan pemberian bantuan bakul makanan itu sebagai satu rahmat dan melegakan dia sekeluarga yang hampir terputus bekalan.
“Pemandu teksi memang jatuh teruk, saya sudah tiga minggu tak bawa teksi, kawasan saya pula Desa Rejang, kena lockdown terus, memang tiada pelanggan.
“Sehari RM38 kena bayar, macam mana nak bayar, kalau NGO bagi sumbangan kepada saya sikit dan kawan-kawan lain memang Alhamdulillah.
“Walaupun kerajaan ada bagi RM500 terima kasih banyak, kalau nak banding sewa bulanan memang tak mencukupi sebab sebulan saya kena bayar RM1,140 syarikat pula tetap minta bayar,” katanya.
Bagi seorang suri rumah pula, Roslina Abu, 35, dia tersentuh dengan keprihatinan NGO yang tidak putus-putus menghulurkan sumbangan, apatah lagi dia tidak mempunyai pendapatan.
“Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak NGO selalu menghulurkan sumbangan kepada kami B40, sedikit banyak membantu dari segi keperluan harian dengan keadaan pandemik sekarang.
“Saya suri rumah keperluan dapur hampir terputus dan terima kasih kepada NGO Selangor yang sentiasa membantu golongan macam kami,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Cubalah acah-acah pilihanraya dah dekat maka muncullah bakal wakil rakyat membantu para pengundi jer.