Home Nasional Penghuni PKRC kena bersihkan sendiri pusat kuarantin?

Penghuni PKRC kena bersihkan sendiri pusat kuarantin?

PKRC KUIPSAS di Kuantan, Pahang didakwa kotor oleh penghuninya.

KUANTAN – Penghuni Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini mendakwa menginap di tempat kotor dan persekitaran tidak bersih.

Salah seorang daripada penghuninya yang tidak mahu dikenali mendakwa rasa terkilan dengan layanan yang diberikan meskipun telah membuat aduan.

Jelasnya bilik air serta tandas kotor, bilik berhabuk, lantai tidak bersih membuatkan mereka yang dikuarantin sejak minggu lalu berasa tidak selesa.

PKRC KUIPSAS di Jalan Gambang mula beroperasi sejak 23 Mei lalu itu mempu menempatkan kapasiti sehingga 360 pesakit.

“Meski pun kami memahami dan terima dari segi aspek fasiliti yang disediakan namun PKRC di sini sangat kotor, melihat keadaan tandas dan kawasannya pun tidak terjaga.

“Jadi, kami masih tertanya-tanya adakan benar sebelum ini mereka menjalankan sanitasi dan kerja-kerja pembersihan?

“Kami difahamkan pihak bomba atau Radicare yang melakukan kerja sanitasi dan pembersihan tetapi, kenapa sampah mereka yang terdahulu menghuni di sini masih ada?” soalnya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Difahamkan, sebahagian daripada mereka yang dikuarantin merupakan petugas barisan hadapan dari Hospital Sutan Ahmad Shah di Temerloh.

Sebelum itu, menurutnya, mereka dijanjikan untuk dipindahkan ke tempat lain selepas membuat aduan namun masih tiada tindakan susulan dilakukan.

Sekiranya tidak dapat dipindahkan mereka akur namun memohon langkah segera diambil bagi membersihkan persekitaran PKRC tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN :

PKRC Gambang sedia 1,380 katil – Sallehuddin

Pahang buka dua PKRC

“Kami risau kerana perkara utama bagi mengawal jangkitan, ialah aspek kebersihan. Jika tidak terkawal kami risau selepas keluar dari pusat kurantin, penyakit lain pula yang dapat.

“Kami bukan orang kayangan, kita faham dan boleh bayang, isunya cuma sangat terkilan dengan aspek kebersihan, kami datang di sini untuk dikurantin, bukan untuk datang di sini membuat kerja kebersihan.

Sementara itu,  Sekretariat Pengurusan Bencana Penyelaras PKRC KUIPSAS merangkap Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman mengakui menerima aduan berkenaan.

Malah pihaknya sudah mengadakan perbincangan lanjut Khamis lalu bersama pihak pengadu serta menyiapkan laporan penuh disusuli tindakan segera telah diambil.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menolak kerja-kerja pembersihan oleh Redicare terganggu di PKRC berikutan kekurangan tenaga pekerja. – MalaysiaGazette